JOHOR BAHRU: Jumlah pengundi di negeri ini mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran Undi18.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini menjadikan jumlah pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Beliau berkata, dengan peningkatan itu, berlakunya pertambahan antara 20 hingga 30 peratus di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
“Kita sedia maklum mengenai perkara ini malah sudah bersedia untuk menghadapinya sebagai cabaran dalam kancah politik. Bahkan semua Ahli Parlimen sudah ditaklimatkan mengenai jumlah pengundi yang diwartakan.
“Pendaftaran pengundi (Undi18) termasuk pengundi pertama kali telah bermula sejak Disember lalu dan diwartakan pada 16 Januari ini.
“Jumlah pengundi itu akan bertambah setelah pendaftaran pengundi (Undi18) diwartakan secara automatik dan akan dikemas kini setiap 16hb,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program retreat dan gerak gempur jentera Kongres Islam Muslim Malaysia (KIMMA).
Hadir sama, Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, Setiausaha Agung KIMMA, Hussain Jamal dan Pengerusi KIMMA Johor, Datuk Anwar Sadat.
Kerajaan sebelum ini meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pertambahan pengundi itu bukan sahaja menjadi ujian buat Barisan Nasional malah turut menjadi cabaran kepada parti politik lain yang bertanding.
“Ini tidak seharusnya menjadi isu kerana kami juga bersetuju dan menyokong perkara ini di Dewan Rakyat. Jadi, lambat laun kita akan menghadapinya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE