LANGKAWI: Penduduk di pulau ini mendoakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kembali sembuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, semua pemain industri pelancongan di sini mendoakan kesejahteraan kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Sebagai Ahli Parlimen Langkawi dan bekas Perdana Menteri, beliau banyak membantu menaikkan industri pelancongan di Langkawi.
“Jasa beliau pada Langkawi tidak terbalas, jadi saya, ahli LTA dan semua pemain industri pelancongan di Langkawi mendoakan kesihatan Tun untuk kembali seperti sediakala supaya dapat terus berkhidmat untuk Langkawi,” katanya di sini hari ini.
Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Muda Langkawi, Muhammad Alif Aiman Azman berkata, anak muda di Langkawi masih memerlukan tunjuk ajar daripada Dr. Mahathir.
“Beliau banyak memberi sokongan kepada aktiviti anak muda di Langkawi bagi memastikan anak muda Langkawi berdaya saing, lebih kompetitif dalam pasaran industri pelancongan terutamanya di Langkawi.
“Saya mendoakan semoga Dr. Mahathir, negarawan terulung Malaysia mendapat kesembuhan dan dimudahkan segala urusan beliau dan keluarga beliau,” jelasnya.
Seorang penduduk, Aripah Yaacob, 54, turut mengharapkan Dr. Mahathir cepat sembuh dan kembali berkhidmat untuk Langkawi.
“Banyak jasa beliau kepada negara sepanjang menjadi Perdana Menteri, dan juga semasa berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Langkawi.
“Saya berharap beliau dibenarkan keluar daripada hospital secepat mungkin dan kembali sembuh seperti sediakala,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari lepas.
Sebelum itu pada Disember, beliau dilaporkan dimasukkan ke hospital sama sebelum dibenarkan keluar selepas beberapa hari menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut.