Penduduk kesal projek asrama warga asing diteruskan

Penduduk kesal projek asrama warga asing diteruskan

PENDUDUK, Muhammad Idris Saleh (kiri), Muhammad Farid Saad (tengah) dan Sophian Mohd. Zain (kanan) menunjukkan lokasi asrama warga asing yang bakal dibina di Tingkat Teluk Kumbar, Pulau Pinang, semalam. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Penduduk sekitar Teluk Kumbar dekat sini melahirkan kekesalan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang didakwa tidak mengendahkan bantahan mereka dengan meneruskan projek asrama yang bakal menempatkan hampir 50,000 pekerja asing di situ.

Ini berikutan satu daripada tiga lokasi tapak asrama yang terletak di Lot 1859, 1860 dan 1865 di Tingkat Teluk Kumbar sudah ditutup sebelum kerja-kerja pembinaan asrama dija­lankan.

Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr. Muhammad Farid Saad berkata, pihaknya kesal dengan tindakan kerajaan yang dilihat telah mengetepikan suara penduduk tempatan termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menurutnya, pelbagai persoa­lan timbul berhubung perkara tersebut termasuk maklum balas berhubung memorandum bantahan menerusi 1,500 tandatangan petisyen pihak kariah Masjid Te­luk Kumbar yang dilaksanakan Oktober tahun lalu.

“Suara rakyat melalui wakil rakyat mereka tidak didengari. Kerajaan negeri mempunyai kua­sa meluluskan atau memba­talkan sebarang projek.

“Kerajaan Pulau Pinang ju­ga boleh mendengar rintihan rakyat atau mendengar desakan pemaju yang berkepentingan. Persoalannya, siapakah di sebalik kehendak pemaju yang begitu mempengaruhi kerajaan negeri dalam membuat keputusan ini?” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Sophian berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebanjiran warga asing di kawasan Teluk Kumbar akan mewujudkan lebih banyak operasi premis haram termasuk kedai makan dan runcit yang bakal dibina di situ.

“Wakil rakyat perlu bertindak menghentikan projek ini dan bukannya bergantung pada suara rakyat atau petisyen bantahan semata-mata,” ujarnya.

Pada 12 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 30,000 penduduk meliputi lebih lima penempatan di Teluk Kumbar di sini merayu kerajaan negeri mencari lokasi lain bagi pembangunan tiga projek asrama yang dikatakan akan menempatkan hampir 50,000 pekerja asing.

Rayuan penduduk Kampung Masjid, Kampung Nelayan, Kampung Matahari Naik, Sungai Batu, Taman Perda dan Taman Sahabat itu disuarakan dalam satu siri bantahan di persimpangan jalan Tingkat Teluk Kumbar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN