Pemergian Shebby buat arena bola sepak berduka - Utusan Malaysia

Pemergian Shebby buat arena bola sepak berduka

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut hadir memberi penghormatan terakhir buat mediang Shebby. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakan perjuangan, bekas pemain, menteri, jurulatih dan juga peminat bola sepak hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh.

Antara jurulatih dan bekas pemain bola sepak tanah air yang hadir memberi penghormatan itu di Shamshan Bhoomi Hall, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur adalah S. Balachandran, Stanley Bernard, Dollah Salleh, Bojan Hodak, Zainal Abidin Hassan dan beberapa lagi rakan mendiang.

Rakan pengiat sukan tanah air menyifatkan pemergian Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby secara mengejut dan adalah satu kehilangan besar kepada industri sukan bola sepak.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengakui pemergian mendiang adalah kehilangan yang besar kepada industri bola sepak.

Meskipun kehilangan orang tercinta namun keluarga mendiang kelihatan tabah menghadapi detik-detik kehilangan ini dan berasa bangga dengan pencapaian yang dikecapi mendiang sebelum ini.

“Mendiang pernah bermain bersama Perak pada tahun 1995, ketika itu saya terlibat dalam persatuan penyokong kelab tersebut.

“Kenangan saya secara langsung, ketika mendiang bersama pasukan Myteam dan bermain dengan pasukan pilihan Manchester United di Old Trafford, England,” katanya semasa ditemui oleh Utusan Malaysia, sebentar tadi.

DOLLAH Salleh dan Zainal Abidin Hassan turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, polis mengesahkan bekas pemain Kuala Lumpur dan pemerhati bola sepak berusia 61 tahun itu meninggal dunia ketika sedang berbasikal di sekitar Sunway Iskandar.

Dalam pada itu, Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin menjelaskan kehilangan Shebby merupakan kerugian besar kerana mendiang antara tokoh bola sepak yang mampu membantu perkembangan sukan itu.

“Bagi saya, beliau adalah seorang yang sangat berdedikasi, berdisiplin dan mempunyai jiwa yang besar di dalam sukan bola sepak. Ketika saya bermain di dalam pasukan sama dengan mendiang untuk tempoh masa yang lama.

“Saya ada berhubung dengan mendiang melalui aplikasi Whatsapp dan pernah berjumpa beliau di Johor Bahru dalam dua ke tiga bulan lepas. Semasa itu, saya tidak nampak mendiang menghidap penyakit kronik kerana beliau adalah seorang yang aktif dan cerdas,” jelasnya.

Sementara itu, S. Balachandran memaklumkan memorinya bersama mendiang ketika bermain di dalam pasukan yang sama dan pernah menjadi rakan sebilik serta menjelajah ke eropah pada ketika dahulu.

“Shebby sentiasa memberi tunjuk ajar yang baik ketika kami bersama. Di padang bola, mendiang adalah antara pemain terbaik dengan sikap agresifnya tetapi apabila di luar, beliau bersifat lemah lembut dan sangat sopan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.