Pembaris pola ‘magis’ jadi pilihan ramai tukang jahit

Pembaris pola ‘magis’ jadi pilihan tukang jahit

ATHIRAH Razali menunjukkan pembaris pola 'magis' yang banyak membantu tukang jahit peringkat permulaan mengukur corak kain. - FOTO MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula daripada perasaan simpati melihat pelajarnya sukar mengukur jahitan pakaian dengan tepat, Athirah Razali tampil dengan idea inovasi penciptaan pembaris pola.

Hasilnya, produk ciptaan itu bukan sahaja membantu muridnya yang kebanyakan orang kurang upaya (OKU) autisme, malah menjadi pilihan ramai tukang jahit amatur di negara ini.

Lebih unik, pembaris ‘magis’ tersebut yang dilahirkan pada 2016 lalu, turut diiktiraf Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta (IRC) 2021 yang julung kali dianjurkan agensi itu di bawah Program Return To Work.

“Saya bersyukur kerana D’Athirah Magic Ruler diperakui agensi ini dan memenuhi matlamat bagi tolong golongan rentan yang hilang kerja untuk ceburi bisnes jahitan pakaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Produknya itu malah tanpa dijangka diumumkan sebagai juara dalam kategori awam pertandingan tersebut dengan meraih hadiah berupa plak dan wang tunai berjumlah RM5,000 yang disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam satu majlis di Putrajaya, Isnin lalu.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama produknya diiktiraf bahkan sudah beberapa kali menjuarai banyak pertandingan anjuran pelbagai pihak di Selangor dan juga peringkat kebangsaan.

Mengulas lanjut, Athirah, 39, yang berasal dari Kuching, Sarawak turut teruja kerana hasil daripada pembaris pertamanya itu membawa kepada 15 pembaris lain dengan fungsi berbeza.

“Niat saya hanya satu, bagi melahirkan lebih ramai tukang jahit mahir dengan pembaris pola ‘magis’ ini tanpa perlu buang masa belanja besar ratusan ringgit untuk jadi cekap,” katanya.

Paling menarik, ramai pelajarnya mengakui hasil produktiviti mereka juga meningkat lebih 50 peratus kerana lebih jimat tenaga dan waktu apabila pakaian dapat disiapkan lebih pantas.

Ditanya, bagaimana boleh tercetus idea untuk reka pembaris istimewa itu, beliau berkata, selain kasihan melihat muridnya terkial-kial ukur jahitan, pembaris biasa amat susah digunakan kerana memerlukan pengiraan yang rumit terutama bagi sudut sukar, sekali gus mengakibatkan banyak pakaian yang dijahit tersilap ukuran betul dengan ada terlebih atau terkurang saiznya.

Keadaan itu banyak dialami tukang jahit tidak mahir apabila menerima banyak tempahan dari pelanggan secara serentak terutama ketika kemuncak musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Dari situ, saya reka pembaris pola sendiri dengan banyak kali kena ubah suai untuk proses tambah baik dan akhirnya jadilah pembaris ‘magis’ dalam masa sebulan,” katanya bersyukur.

Beliau yang sudah memiliki dua akademi jahitan di Shah Alam, Selangor dan di Kuching, turut berbangga mendapat sokongan dari suami, Mohd. Zaffidin Mohd. Azman serta lima anaknya dan merancang membimbing ramai OKU dan wanita yang tiada kerja tetap untuk menjadi tukang jahit profesional selain menambah pendapatan.

Ini termasuk menerusi siri kelas latihan secara atas talian dan promosi potongan harga bagi pembelian pembaris pola khas itu lengkap dengan sesi tunjuk ajar petua jahitan yang berbaloi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN