Pemandu e-hailing cedera disamun ‘pelanggan’ - Utusan Malaysia

Pemandu e-hailing cedera disamun ‘pelanggan’

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemandu e-hailing cedera di leher dipercayai ditikam selepas disamun ‘pelanggan’ dalam kejadian di Jalan Sentul Pasar di sini semalam. 

Kejadian kira-kira pukul 2.08 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 47 tahun telah mengambil suspek di Putrajaya dengan menggunakan aplikasi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, selepas tiba ke destinasi di Sentul Pasar, mangsa memberitahu suspek jumlah tambang yang perlu dibayar. 

“Bagaimanapun, suspek meminta akaun milik mangsa kerana mahu membuat pembayaran tambang secara dalam talian. 

“Semasa mangsa sedang mencari nombor akaun miliknya, secara tiba-tiba suspek bertindak menikam mangsa menggunakan objek tajam pada bahagian leher,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Eng Lai, suspek turut menarik lelaki itu keluar daripada kereta dan melarikan kereta mangsa jenis Proton Saga warna kelabu dengan nombor pendaftaran BPV 5859.

Ujarnya,  beberapa barangan peribadi milik mangsa yang tertinggal di dalam kereta tersebut turut dilarikan suspek. 

“Mangsa dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Bertindak atas siasatan dan risikan, pihak polis berjaya menahan suspek berusia 23 tahun yang terlibat dalam kes ini di tempat awam di Kota Damansara,” ujarnya. 

Tambahnya, pihak polis turut merampas kereta yang telah dilarikan oleh suspek dan juga beberapa barangan termasuk sebilah pisau dipercayai telah digunakan suspek untuk mencederakan mangsa.

“Turut dirampas, beg silang milik mangsa, kunci kereta, lesen memandu, pasport serta kad pelantikan anggota Rela milik mangsa dan beberapa keping kad bank. 

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan,” katanya.

Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang- undang, tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang ini. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang perlakuan jenayah dan dadah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN