PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji teknologi baharu untuk pendaftaran kenderaan seperti tag RFID, kod QR dan cip melalui Pelan Pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Memetik laporan sebuah portal, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pelan terbabit bagi pengenalan kenderaan boleh menurunkan harga pelekat RFID untuk pembayaran tol secara elektronik di lebuh raya.
Katanya, teknologi baharu untuk pendaftaran kenderaan seperti tag RFID, kod QR dan cip sedang dikaji JPJ.
“Sistem RFID akan membolehkan penguatkuasaan dijalankan melalui automasi bagi memastikan bacaan tepat (pendaftaran kenderaan) seterusnya meminimumkan kos.
“Jika JPJ mengguna pakai teknologi RFID, kami akan memastikan ia serasi dan boleh digunakan untuk tujuan lain, termasuk pembayaran tol bagi mengelak keperluan banyak tag RFID pada satu kenderaan,” katanya hari ini.
Ka Siong berkata, terdapat 33.1 juta kenderaan berdaftar dalam pangkalan data JPJ dan 16.2 juta pemegang lesen memandu dan motosikal di seluruh negara yang melibatkan populasi negara dianggarkan 33 juta penduduk.
“Program pendigitalan yang dicadangkan itu boleh membantu kementerian dan rangka tindakan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk melaksanakan tol aliran bebas berbilang lorong (MLFF) menjelang 2025.
“Kami akan membawanya kepada Jemaah Menteri untuk diluluskan. Kami harap dapat beri penyelesaian kepada LLM dan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan kementeriannya terlibat dalam perbincangan itu.
“Ya, itu sebahagian daripada rancangan (untuk MLFF),” katanya dalam mesej teks kepada FMT.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Kementerian Pengangkutan akan bersetuju dengan cadangan JPJ untuk mempiawaikan pengeluaran nombor plat bagi menyokong teknologi pengenalan nombor plat automatik (ANPR) bawah MLFF.
Turut tidak jelas sama ada dasar menggunakan pelekat biru pada cukai jalan akan diteruskan bawah pelan pendigitalan JPJ.
Pelekat keselamatan biru itu mula diterima pakai dua dekad lepas untuk menambah baik kutipan hasil JPJ dengan mencontohi amalan pihak berkuasa Australia untuk menghalang penipuan.
Pelekat RFID bagi semua kenderaan dicadangkan pada 2005 oleh Kementerian Pengangkutan.
Di bawah pelan asal pada 2018, ia disebut-sebut sebagai sistem yang akan membantu polis dan pihak berkuasa lain untuk mengesan penjenayah.
Ia juga bertujuan untuk memudahkan pelancaran MLFF, termasuk membolehkan pemantauan masa nyata ke atas situasi lalu lintas.
Teknologi RFID dan ANPR telah digunakan dari 2016 hingga 2019 bawah pelaksanaan permit masuk kenderaan JPJ untuk kereta dari Singapura di pusat pemeriksaan imigresen di Johor Bahru.
Buat masa ini, tag RFID dijual pada harga RM35 bagi tujuan penggunaan e-dompet Touch ‘n Go di Lebuh Raya Utara-Selatan.