PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan memutuskan sama ada bekerjasama dengan blok parti kerajaan sejajar dengan sokongan parti itu terhadap kerajaan di peringkat Persekutuan.
Parti itu juga pada masa akan mempertimbangkan kesesuaian untuk meletakkan calon-calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkata, penyertaan parti itu dipercayai bakal memberi ruang memperkenalkan dasar-dasar perjuangan melalui enam teras di dalam The Great Reset 2030 yang digagaskannya.
“PBM tetap bertegas bahawa tempoh pandemik Covid-19 dan kesan bencana banjir baru-baru ini bukan waktu kondusif untuk mengadakan pilihan raya.
“Bagaimanapun, demi kestabilan kerajaan negeri, PBM boleh berkompromi dengan keputusan Menteri Besar selepas mendapat perkenan Sultan Johor, untuk membubarkan DUN Johor bagi memberi laluan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Kompromi ini mensyaratkan SOP pilihan raya ketat perlu dikuatkuasakan seperti mana terpakai pelaksanaannya semasa PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini.
“PBM menyeru semua parti yang akan bertanding memberi komitmen sepenuhnya dalam pematuhan SOP yang akan dikuatkuasakan oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PBM hadir sebagai parti baharu didaftarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), yang dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) diasaskan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pada 2012.
Pada 8 Januari lalu, Larry diumumkan menyandang jawatan Presiden selepas Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu.
PBM mempunyai dua ahli Parlimen termasuk Larry dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) serta lima ADUN iaitu Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya); Daroyah Alwi (Sementa); A. Sivasubramaniam (Buntong); Paul Yong Choo Kiong (Tronoh) dan Leong Cheok Keng (Malim Nawar).
PBM sudah mempunyai 12 bahagian, 40,000 ahli di Sarawak dan 53,000 ahli dianggotai Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinaungi Datuk Zuraida Kamaruddin, semasa menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.