PAPSMA mahu sekat ejen haram pengambilan pekerja asing - Utusan Malaysia

PAPSMA mahu sekat ejen haram pengambilan pekerja asing

SUKUMARAN NAIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) mahu menghalang tindakan tidak bertanggungjawab ejen-ejen haram yang mengutip wang daripada majikan-majikan tempatan melibatkan pekerja asing. 

Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran berkata, lebih memburukkan, ejen-ejen haram itu gagal dikesan jika timbul sebarang masalah ketika atau selepas proses pengambilan pekerja.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan semua ejen pekerja asing berdaftar untuk menjalankan perniagaan secara beretika dan profesional, sekali gus mengekalkan imej baik negara berkaitan proses pengambilan golongan tersebut.

“PAPSMA bersetuju dengan langkah Kementerian Sumber Manusia untuk menghapuskan semua ejen haram dan membenarkan hanya mereka yang berdaftar serta berlesen untuk menjalankan segala aktiviti berkaitan pengambilan pekerja asing di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini

Pada masa sama, Sukumaran berkata, pihaknya menyokong tindakan kementerian membuka peluang kepada negara-negara lain terutamanya Bangladesh bagi menghantar tenaga kerja mereka ke sini.

Jelasnya, sebagaimana dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, ia membuatkan industri bersifat lebih kompetitif dan tidak dimonopoli negara-negara tertentu sahaja.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan laporan-laporan berita tidak benar yang memberi gambaran negatif terhadap proses pengambilan pekerja asing terutama dari Indonesia.

Sukumaran berkata, laporan-laporan berita yang mengandungi maklumat tidak benar tersebut berkemungkinan dihasilkan penulis bebas yang memperalatkan media.

Justeru, pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan kementerian bagi menghalang penyebaran maklumat palsu berkenaan.

“Kami kesal dengan laporan tidak benar daripada organisasi tidak berkaitan mengenai proses pengambilan pekerja asing dan kos melampau membabitkannya.

“Ia (berita palsu) itu dibuat tanpa memahami proses-proses dan lain-lain prosedur berkaitan pengambilan pekerja asing yang berbeza antara negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN