Nextgreen Global labur RM2.23 bilion bangunkan hutan di Kelantan - Utusan Malaysia

Nextgreen Global labur RM2.23 bilion bangunkan hutan di Kelantan

TENGKU Mohamad Faziharudean Tengku Feissal (kiri) dan Lim Thiam Huat (kanan) menandatangani MoU sambil disaksikan Ahmad Yakob (tengah) di Kota Bharu, semalam.- UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan memacu pembangunan negeri ini menerusi Pelan Induk Lestari Kelantan (PLK) dengan tumpuan kepada ekonomi hijau yang melibatkan pelaburan RM2.23 bilion.

Inisiatif tersebut bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman dengan Nextgreen Global Berhad (NGGB) yang akan membantu mempercepatkan agenda teknologi hijau dengan mewujudkan pengurusan hutan lestari.

Pengarah NGGB, Datuk Mohd. Yusof Din berkata, PLK terbahagi kepada lima komponen iaitu pusat pengumpulan dan pemprosesan sisa sawit, ladang hutan lestari, kilang pulpa, kilang makanan haiwan dan kilang baja.

Kata beliau, kelima-lima komponen tersebut dianggarkan membabitkan nilai pelaburan mencecah RM2.23 bilion dan dijangka menawarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

“Kelantan merupakan negeri kedua yang dipilih oleh NGGB selepas Pahang untuk melabur menerusi projek lestari ini.

“Usaha sama ini adalah satu langkah ke arah untuk mencapai agenda teknologi hijau negara berdasarkan rangka kerja Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seterusnya mentransformasikan sosio ekonomi rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis menandatangani MoU Usahasama Pelaburan Projek Lestari Kelantan antara Kerajaan Negeri Kelantan dan NGGB di sini semalam.

Memorandum itu ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamad Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah Urusan NGGB, Datuk Lim Thiam Huat.

Hadir sama menyaksikan upacara yang dibuat secara tertutup, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Mohd. Yusof juga berkata, objektif utama PLK adalah untuk menambah baik amalan kelestarian negeri dengan memulihkan hutan Kelantan yang rosak dan menukar kayu daripada hutan terdegradasi kepada bahan mentah untuk digunakan dalam pembuatan pulpa dan kertas.

Katanya, usaha itu akan melaksanakan model kitaran ekonomi yang direka untuk mengurangkan jejak karbon dan ia merupakan sebahagian daripada komitmen korporat NGGB ke arah memenuhi matlamat tanggungjawab kepada alam sekitar. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN