DUNGUN: Seorang peniaga berstatus orang kurang upaya (OKU) membuktikan kekurangan bukan halangan untuk berjaya apabila mampu meraih RM1,000 sehari dengan menjual nasi goreng sotong emas.
Menurut Mohd. Arif Abdullah, 50, sejak menu itu diperkenalkan kira-kira empat tahun lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan termasuk dikunjungi pelanggan dari Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur.
Dia yang buta mata kiri dan rabun pada mata kanan sejak kecil berkata, perkembangan positif itu sekali gus menambah keyakinannya untuk membuka cawangan baharu di Kuantan, Pahang, tahun ini.
“Lebih 100 kilogram sotong digunakan setiap sehari, hingga adakalanya kedai terpaksa ditutup lebih awal kerana kehabisan makanan laut itu.
“Walaupun menu ini pernah tular beberapa tahun lalu, tetapi saya tidak sangka nasi goreng sotong emas masih digemari ramai hingga kini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya di Kampung Balai Besar.
Mohd. Arif berkata, idea untuk menjual nasi goreng itu tercetus selepas dia dan isteri, Suhana Mohamad, 53, berkali-kali gagal dalam perniagaan makanan.
Katanya, jualan nasi lemak yang diusahakan sebelum ini tidak membuahkan hasil, malah sentiasa menanggung kerugian.
“Kemudian saya dan isteri terfikir untuk menjual nasi goreng kerana menu ini lazim dimakan ramai, jadi bagi mencipta kelainan, ia disajikan bersama sotong goreng bersalut tepung yang warnaya kuning terang seolah-olah nampak seperti emas.
“Di sebalik penglihatan yang terbatas tetapi saya masih perlu bekerja untuk keluarga, dan apa yang penting jangan berhenti berusaha,” katanya.