LIPIS: Usaha seorang remaja, Noraida Zulkifl mengembangkan perniagaan piza terbantut ekoran kekurangan modal dan peralatan memasak menyebabkannya tidak mampu pergi lebih jauh walaupun mendapat permintaan tinggi.
Noraida, 18, yang tinggal di Kampung Tanjung Buloh, Kerambit di sini, turut berdepan kesukaran mempromosi piza menerusi Facebook, Instagram dan WhatsApp kerana masalah internet termasuk perhubungan telefon untuk pelanggan membuat tempahan secara ‘hantar dan bayar’ (COD).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noraida yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit berkata, memandangkan modal ‘ciput’ dan cuma memiliki sebuah alat pemanas atau oven bersaiz kecil, dia hanya mampu menyediakan antara tujuh hingga 10 keping makanan berasal dari Itali itu sehari.
“Inilah kekangan saya hadapi kerana kekurangan modal dan peralatan memasak menyebabkan pasaran terganggu sedangkan permintaan setiap hari banyak daripada pelanggan di pekan Kerambit, Kampung Relai, Kampung Batu Sembilan, Kampung Putu, Kampung Jeram Landak dan Kampung Tanjung Buloh.
“Kawasan rumah saya dan berdekatan tiada akses internet menyebabkan promosi perniagaan secara dalam talian tidak boleh dibuat,” katanya di Kampung Tanjung Buloh dekat sini semalam.
Menurut Noraida, perniagaan pizanya bermula Ramadan tahun lalu dan setiap hari dalam bulan itu, dia cuma mampu menyediakan kira-kira 30 keping makanan tersebut yang ditempah pelanggan memandangkan peralatan memasak kecil manakala ruang memasak sempit berdekatan dapur rumah.
“Saya cuma membuat piza carbonara dan pepperoni campuran daging serta ayam bagi kedua jenis berkenaan. Kedua-duanya jenis ini dijual antara RM18 hingga RM23 sekeping berasaskan saiz dan campuran bahan,” katanya.
Selanjutnya remaja yang gigih itu berkata, tanpa akses internet, dia cuma menerima tempahan piza melalui ibunya, Khalijah Harun yang bekerja sebagai pembantu makmal di SMK Kerambit kerana kawasan berkenaan ada talian dan mudah dihubungi menerusi alat telekomunikasi.
“Saya juga dibantu ibu saudara yang tinggal di pekan Kerambit berurusan perniagaan ini, kemudian saya sendiri menunggang motosikal berjumpa mereka mengambil tempahan dan menghantar piza kepada pelanggan.
“Kesukaran perhubungan telekomunikasi dan kekurangan peralatan memasak apatah lagi modal yang agak ‘ciput’ agak menyukarkan saya melebarkan perniagaan piza ini,” katanya.
Gadis itu menambah, minatnya untuk mempelajari kemahiran bidang kulinari khususnya berkaitan pizza dan makanan lain tetap tersemat di lubuk hatinya, tetapi agak payah mendapatkan maklumat bagi memohon kemasukan di mana-mana institut pengajian atau latihan di bandar.
“Saya berharap kerajaan dapat membantu menambah peralatan seperti oven yang bersaiz besar dan juga membina tempat atau bengkel memasak yang berasingan dengan dapur rumah untuk jaminan keselesaan dan kebersihan,” ujarnya.
Orang ramai, dermawan dan institusi bidang kulinari yang ingin membantu boleh Noraida menerusi ibunya, Khalijah di talian 01110791237 atau Halimah Harun menerusi talian 01110695061. – UTUSAN ONLINE