Melancong di Cameron Highlands sambil pecah cermin kereta - Utusan Malaysia

Melancong di Cameron Highlands sambil pecah cermin kereta

RAMLI Mohamed Yoosuf (tengah) menunjukkan barang yang dirampas dalam kes pecah cermin kereta sekitar Cameron Highlands dalam sidang akhbar di IPD Cameron Highlands hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Taktik empat lelaki membawa keluarga dan kekasih melancong di sini sambil mencuri dengan memecah cermin kereta di pusat peranginan itu terbongkar selepas enam daripada mereka ditahan polis Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua suspek dipercayai dari Sungai Petani, Kedah menaiki tiga kenderaan berasingan dan menginap di sebuah pusat penginapan di sekitar Brinchang di sini sejak Khamis lalu.

Menurutnya, pihaknya menerima tujuh laporan berkaitan kejadian pecah cermin kenderaan dan kehilangan barang berharga di sekitar pentadbiran Daerah Cameron Highlands dalam tempoh tiga hari bermula 6 hingga 8 Januari lalu.

Katanya, laporan ketujuh yang diterima sekitar pukul 10. 50 malam Sabtu lalu melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire apabila cermin belakang pemandu telah dipecahkan dan wang tunai  berjumlah RM260,000 dilarikan.

“Bertindak atas maklumat, pada 8 Januari lebih kurang pukul 11.40 malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands berjaya menangkap tiga lelaki dan tiga perempuan termasuk isteri dan seorang anak lelaki suspek utama yang melarikan diri di salah sebuah pusat penginapan di sekitar Brinchang.

“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek bersama ahli keluarga mereka mahu melarikan diri namun berjaya ditahan di tempat letak kereta tempat mereka menginap.

“Namun sepasang suami isteri bersama suspek utama berjaya melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Cameron Highlands di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang daripada suspek juga menyimpan wang tunai RM260,000 yang dicuri di dalam kawasan sampah yang terletak di blok mereka menginap sebelum menyembunyikan diri.

Katanya, namun akhirnya berjaya ditangkap dan wang curi yang disembunyikan berjaya ditemukan.

Beliau berkata,polis turut merampas sebuah beg kecil berwarna merah jambu berbintik hitam mengandungi alat-alat disyaki untuk kegunaan memecah cermin kereta, membuka kunci motosikal dan kereta bersama sebatang anak kunci gari.

“Polis turut merampas empat paket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 34.74 gram bersama satu paket plastik berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 4.2 gram.

“Polis turut merampas pelbagai jenis barang kemas termasuk tiga keping bar emas berwarna kuning, 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama, beg sandang warna hitam mengandungi wang tunai berjumlah RM3,843 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna putih bersama sebatang anak kunci dan alat kawalan jauh,” katanya.

Menurut Ramli, hasil siasatan lanjut yang dijalankan, dua daripada enam suspek yang berjaya ditahan mendedahkan penglibatan mereka dalam tujuh kes jenayah pecah cermin kereta dan curi barang sekitar Cameron Highlands bersama dua lagi rakan jenayah mereka yang masih bebas.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis telah menyelesaikan tujuh kes pecah cermin dan curi barang yang berlaku di sekitar Cameron Highlands dan ujian saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, semua suspek disiasat di bawah beberapa akta antaranya Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda.

“Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memiliki dadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN