Masyarakat Kadazan, Dusun, Murut akan terus berpecah - Mohd. Shafie - Utusan Malaysia

Masyarakat Kadazan, Dusun, Murut akan terus berpecah – Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di Sabah akan terus berpecah dengan kewujudan parti baharu yang bakal ditubuhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datu Peter Anthony.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, amat menyedihkan apabila masyarakat KDM berpecah kerana sebelum ini mereka sudah berpecah berikutan kewujudan banyak parti berasaskan KDM.

“Itu sebabnya saya mahu menyatukan semua parti (tempatan) yang ada di Sabah. Malah, sejak hari pertama (tubuh Warisan), saya mahu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersama-sama kami,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Shafie berkata, beliau sudah mempunyai pengalaman bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta melihat kegagalan yang berlaku.

Situasi itu membuatkan beliau mengambil langkah untuk melebarkan sayap parti ke Semenanjung.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, persepsi bahawa Warisan hilang sokongan masyarakat KDM di pedalaman tidak timbul.

Walaupun setelah Peter Anthony keluar parti, sokongan di peringkat akar bumi terhadap Warisan masih lagi kukuh.

Mengulas lanjut katanya, Warisan masih menjadi parti tunggal dengan bilangan kerusi paling banyak di Sabah iaitu dengan 17 kerusi DUN.

“Pada masa ini, kita masih kekal sebagai parti tempatan terbesar dan bukannya UMNO atau PBS mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Jelas beliau, kali ini Warisan akan bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi membantu membimbing lebih ramai anak muda untuk turut terlibat dalam politik.

Mohd. Shafie yang juga ADUN Senallang berkata, Warisan akan terus bekerja keras seiring dengan usaha melebarkan sayap parti ke Semenanjung.

Pada masa ini, penerimaan masyarakat di Semenanjung seperti Pulau Pinang, Johor dan Selangor terhadap Warisan amat baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.