Masjid, surau terjejas akibat banjir dijangka boleh digunakan dua minggu lagi - Utusan Malaysia

Masjid, surau terjejas akibat banjir dijangka boleh digunakan dua minggu lagi

MOHD. Shahzihan Ahmad (dua kiri) menerima serahan replika cek berjumlah RM100,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M. Yusop (dua kanan) pada majlis pelancaran Tabung Dana Wakaf Al-Quran di Bangunan JAIS di Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kesemua masjid dan surau di Selangor yang terkesan banjir dijangka boleh digunakan selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, sehingga hari ini, proses pembersihan di masjid dan surau telah selesai dilakukan dan sedang dalam proses pemasangan karpet serta kerja-kerja pemeriksaan pendawaian elektrik.

“Walaupun kerja pembersihan sudah selesai namun kini sedang dalam proses penggantian karpet dan pemeriksaan pendawaian elektrik,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Tabung Dana Wakaf Al-Quran (Pasca Banjir) di Bangunan JAIS, di sini hari ini.

Ditanya mengenai pembukaan sekolah kelolaan JAIS yang dijadualkan pada 10 Januari nanti, Mohd. Shahzihan memberitahu, ia akan dibuka seperti yang diumumkan.

“Semua sekolah kelolaan JAIS mula dibuka pada 10 Januari nanti dan setakat ini, kita belum menerima sebarang permohonan daripada sekolah terlibat banjir bagi urusan penangguhan.

“Bagaimanapun, pihak JAIS sentiasa memantau laporan keselamatan setiap sekolah terbabit termasuk kerosakan dialami untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Tragedi banjir di Selangor pada 18 Disember lalu mengakibatkan 56 sekolah rendah agama kelolaan JAIS, masjid (33) dan surau (90) serta maahad tahfiz swasta (35) terjejas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN