PETALING JAYA: Masalah banjir yang sering berlaku di negara ini tidak menemukan jalan penghujungnya JIKA sikap manusia yang mengejar laba kekayaan masih berlaku sehingga menjadi punca kerosakan ekosistem alam sekitar.
Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, meskipun musibah itu boleh diatasi dengan peranan sains dan mitigasi tertentu, perkara itu bergantung kepada aspek nilai kemanusian dan amat penting supaya tragedi seperti berlaku beberapa negeri tidak berulang.
Beliau kemudian mengambil kejadian banjir di Karak, Pahang dan Hulu Langat, Selangor yang berpunca akibat tangan-tangan manusia yang menyebabkan kerosakan alam sekitar.
“Kerosakan ini tidak akan berlaku tanpa ada tangan-tangan manusia yang jadi punca perkara ini berlaku. Jadi kita kena ada nilai, walaupun setakat tinggi pengetahuan sains, tetapi aspek pembinaan nilai kemanusian amat penting.
“Kalau kita tidak tangani perkara (nilai) ini dengan segera, tidak tolak kemungkinan bencana lebih teruk boleh berlaku pada akan datang,” katanya dalam sesi Forum bertajuk ‘Tenggelamnya Lembah Klang, Kuasa Alam Atau Kerakusan Manusia’ anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Sime Darby secara dalam talian, hari ini.
Dalam pada itu, Azizan menambah, sistem pengurusan bencana banjir perlu ditambah baik dengan meletakkan hanya seorang individu untuk mengetuai peranan agar penyampaian lebih efisien dan sistematik.
Katanya, arahan itu perlu jelas dengan semua pihak wajar perlu mematuhinya dalam usaha misi membantu rakyat terkesan banjir.
Beliau juga membangkitkan isu sistem amaran banjir yang perlu dilakukan lebih awal atau sekurang-kurangnya sehari atau enam jam ramalan musibah berlaku.
“Kita boleh menyelamatkan lebih kerugian dan kerosakan sekiranya amaran dikeluarkan lebih awal agar semua lebih bersedia dengan apa yang berlaku selepas itu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE