PONTIAN: Belum reda kejadian bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di daerah ini kelmarin, enam lagi migran warganegara Indonesia dikesan cuba memasuki negara ini di perairan Tanjung Piai, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, percubaan mereka dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu gagal selepas kesemua PATI yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 36 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot ronda Maritim Malaysia mengesan dua buah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Piai.
Menurutnya, salah satu bot tersebut bertindak menukar arah dengan memecut laju menuju ke perairan Indonesia.
“Bot ronda Maritim Malaysia menuju ke lokasi terbabit dan menemukan sebuah bot kayu berwarna biru berserta enam PATI warga Indonesia iaitu tiga lelaki dan tiga wanita. Kesemua PATI ditahan di kedudukan 3.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nurul Hizam berkata, hasil maklumat mendapati mereka menaiki bot kayu dari Tanjung Balai, Karimun sekitar pukul 7.30 malam untuk memasuki perairan negeri Johor.
Jelasnya, menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, tekong bot kayu yang membawa kesemua PATI itu telah bertindak melarikan diri terlebih dahulu bersama sebuah bot laju lain lalu memecut ke arah perairan Indonesia.
“Bot kayu beserta enjin 40 kuasa kuda tersebut telah dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai dan kesemua enam PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut. Mereka akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki perairan Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya.
Maritim Malaysia negeri Johor memberi amaran keras kepada semua warga asing yang ingin memasuki perairan negeri Johor agar menghentikan niat mereka kerana sindiket penyeludup tidak akan bertanggungjawab ke atas keselamatan dan nyawa mereka. – UTUSAN ONLINE