PUTRAJAYA: Datuk Marina Mahathir memohon orang ramai agar tidak terpengaruh dengan spekulasi mengenai status kesihatan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menerusi kenyataan ringkas, beliau turut mengesahkan bapanya itu masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
“Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan sebarang khabar angin yang telah disebarkan melalui pelbagai sumber tidak sahih berhubung perkara tersebut,” jelasnya.
Semalam, ramai pengamal media tempatan dan luar negara berkumpul di pekarangan IJN setelah tersebar berita mengenai Mahathir dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari di situ.
Pemimpin yang berusia 96 tahun pernah dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu sebelum dibenarkan keluar pada 13 Januari lepas namun kemudian dimasukkan sekali lagi kelmarin.
Marina mewakili ibunya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan sekeluarga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengirim doa agar bapanya itu dapat cepat sembuh.
Ini termasuk mereka berada di dalam dan luar negara kerana telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin.
“Kami sekeluarga telah dapat berinteraksi dengan beliau. Pihak IJN dan keluarga Tun Dr. Mahathir akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa,” jelas beliau.
Ahli Parlimen Langkawi dari Parti Pejuang Tanah Air itu pernah beberapa kali dimasukkan ke IJN dengan akhir tahun lalu pada 16 Disember sebelum kemudian keluar pada 23 Disember.