Mangsa banjir Taman Sri Muda mahu pindah - Utusan Malaysia

Mangsa banjir Taman Sri Muda mahu pindah

ZUNIKLIFI Ramli bergambar dihadapan rumahnya yang tenggelam dalam banjir yang melanda pada bulan lalu menyebabkan dia sekeluarga nekad berpindah dari Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebilangan penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini mengambil keputusan mahu berpindah selepas tidak tahan lagi dengan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan perumahan berkenaan.

Satu demi satu kerugian terpaksa dihadapi mereka setiap kali banjir berlaku yang sudah pun berlarutan sejak puluhan tahun, namun mendakwa tiada tindakan konklusif diambil pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu tersebut.

Penduduk, Salehuddin Mohd. Razali, 45, yang tinggal di Jalan Semangat berkata, dia dan beberapa penghuni lain di kejiranannya mengambil keputusan sedemikian selepas tidak sanggup lagi mengharungi banjir yang hampir menenggelamkan keseluruhan rumah.

“Setiap kali banjir, setiap kali itu jugalah kerugian ditanggung kerana kena beli perabot dan peralatan elektrik baru yang rosak akibat tenggelam. Sekarang hendak beli baru pun masih takut, sebab kalau banjir lagi, kena beli lagi.

“Sekali terjadi (banjir besar) yang lepas, saya sekeluarga bersama tiga anak nekad pindah rumah ke tempat lain dan jiran-jiran pun ramai yang berbuat demikian termasuk mahu menjual rumah mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan masalah banjir yang kerap berlaku di Taman Sri Muda dipercayai berpunca daripada masalah perparitan yang tersumbat selepas dipenuhi dengan sampah selain saiznya yang kecil dan cetek.

“Bukan setakat sampah, malah bila ada projek pembinaan pula parit penuh dengan sisa binaan, bila hujan lebat sikit terus bertakung air dan tak dapat mengalir. Sudahlah kedudukan kawasan ini rendah, banjir baru-baru ini pun rumah-rumah di sini juga yang terakhir surut pada Jumaat 24 Disember lalu.

“Pernah melihat kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan dibuat oleh pihak berkuasa, tetapi yang diubah cuma strukturnya sahaja, mereka tak besar dan dalamkan parit pun, itu sebab masalah sama asyik berulang,” jelasnya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Taman Sri Muda menjadi kawasan yang terjejas teruk akibat banjir pada 18 Disember lalu selepas hujan sangat lebat berlarutan selama dua hari melanda seluruh negeri menyebabkan 38,812 penduduk di sana terkesan.

Selain Shah Alam, beberapa daerah lain turut terjejas seperti di Hulu Langat apabila 4,517 penduduk di Taman Sri Nanding terjejas akibat banjir yang menenggelamkan lebih 2,000 rumah di sana.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Gabungan Sri Muda (PGSM), Zunikfli Ramli, 45, memaklumkan hampir 1,000 penduduk menghubungi ejen hartanah untuk berpindah keluar dari kawasan Taman Sri Muda.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan betapa kecewa penduduk di sana mengenai masalah banjir yang tidak pernah selesai.

Malah, banjir baru-baru ini juga menyebabkan perumahan yang tidak pernah dinaiki air turut tenggelam seperti di perumahan kos rendah Taman Sri Lembayung.

“Taman Sri Lembayung tak pernah dilanda banjir, air cuma melimpah sampai ke Jalan Jitu iaitu dekat deretan kilang kitar semula sebelum sampai ke institut memandu.

“Saya juga akan pindah, tak sanggup lagi hendak hadap masalah banjir. Saya ada empat saudara yang tinggal di sini, saya dan tiga lagi sudah putuskan untuk pindah keluar yang seorang lagi sedang berkira-kira untuk pindah,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya