KOTA KINABALU: Ketika orang lain berpantang selepas melahirkan bayi dengan selesa di rumah, Maslinah Abdul Mukti, 34, terpaksa menghabiskan tempoh berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS), Kota Marudu dekat sini akibat banjir.
Keadaan di PPS cukup tidak selesa terutama bagi lima anak termasuk bayi lelakinya yang berusia sebulan. Namun, dia pasrah kerana berpindah ke PPS sudah menjadi rutin tahunan mereka sejak lima tahun lalu.
Katanya, tidak banyak barang yang sempat diselamatkan, dia hanya sempat membawa sekotak barangan bayi. Itu sahaja barangan yang dirasakan penting pada masa ini.
Barang-barang lain tidak sempat dibawa kerana khuatir dengan keselamatan anak-anak kerana paras air sungai naik dengan cepat.
“Mereka berpindah ke rumah ibunya yang lebih tinggi pada waktu malam sebelum diarahkan berpindah ke PPS pada keesokannya.
“Semasa berpindah ke PPS, banjir sudah berada pada paras pinggang. Masa itu, rumah dan kedai runcit jenis ampai (atas tanah) yang baru kami duduk dua bulan lalu sudah tenggelam. Nampaklah barangan kedai runcit dihanyutkan banjir.
“Malah, anak sulung saya yang berusia 14 tahun sempat memungut sebungkus mi segera yang terapung untuk dibawa ke PPS,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Komuniti, Kota Marudu, Sabah.
Maslinah berkata, disebabkan rumah keluarga mereka paling hujung dan berhampiran Sungai Langkon, mereka kerap diarahkan berpindah setiap kali musim hujan.
Sementara itu ibunya, Ina Bakar,61, berpindah ke PPS bersama seorang cucu perempuan berusia 16 tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

“Tidak juga susah mahu mengurus cucu saya semasa berada di sini (PPS) sebab anak-anak lain tolong menguruskannya juga. Lagipun, cucu saya memang pakai lampin jadi senang untuk urus,” katanya.
Menurutnya, mereka sudah terbiasa diarahkan berpindah setiap kali musim hujan lebat dan banjir.
Walaupun banjir kali ini tidak sampai ke dalam rumah namun, bahagian dapur dinaiki air kerana dapur rumahnya agak rendah.- UTUSAN ONLINE