SEPANG: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah memberi bayangan awal kemungkinan besar Malaysia bersedia memindahkan bangunan kedutaan besarnya di Jakarta ke Nusantara.
Meskipun begitu jelasnya, perkara berkenaan belum lagi dibincangkan secara terperinci di peringkat Wisma Putra kerana ada tempoh masa yang cukup lama diberikan oleh Indonesia.
“Secara kebiasaan, kita (Kementerian Luar) harus mengikut peredaran masa dan setempat, maka kalau mereka (Indonesia) sudah pindah ibu negara, kita pun harus ikut pindah,” katanya sebagai mengulas laporan eksklusif Utusan Malaysia semalam yang menyatakan Canseri Malaysia di Jakarta perlu berpindah ke Nusantara paling lewat 2034.
Ia susulan nota rasmi Kementerian Luar Indonesia minggu lalu meminta semua 105 kedutaan asing di Jakarta berpindah selepas pusat pentadbiran baharu Indonesia itu dibuka pada 2024.
Terdahulu, beliau secara simbolik menerima vaksin Covid-19 sumbangan oleh kerajaan Emiriah Arab Bersatu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini disampaikan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE di Kuala Lumpur, Nour Ibrahim Ali Rasheed alKuwaiti yang mewakili Duta Besarnya, Khalid Ghanim Mohammad Alghaith.
Saifuddin memberi gambaran awal bahawa proses pemindahan Canseri Malaysia mungkin perlu mengambil masa sebelum keputusan akhir dapat dimuktamadkan.
“Setakat hari ini, kita (Wisma Putra) belum buat perbincangan secara agak mendalam, namun tunggu masa sesuai nanti akan diumumkan. Ia kemungkinan merujuk proses penilaian hartanah di zon diplomatik baharu di Nusantara sebelum penyaluran peruntukan untuk pembinaan bangunan kedutaan di ibu kota tersebut. Lokasi baharu yang akan diwartakan sebagai Daerah Khusus Ibukota dalam Wilayah Kalimantan Timur itu berkeluasan 2,560 kilometer persegi dan terletak 1,930 kilometer dari Jakarta,” katanya.
Kos pembangunan Nusantara yang berjumlah 466 trilion rupiah (kira-kira RM7.8 bilion) itu juga bakal menyaksikan ia memakai Waktu Indonesia Tengah setara masa standard Malaysia.