PUTRAJAYA: Malaysia antara 10 negara di dunia yang melaporkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan mengikut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam dokumen Bajet yang disediakan setiap tahun.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu dilakukan bagi menambah baik tahap ketelusan khususnya membabitkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan mengikut SDG.
Beliau berkata, sejak menerajui Kementerian Kewangan pada Mac 2020, beliau berusaha memastikan bajet tahunan negara dijajarkan sepenuhnya dengan SDG.
“Kini, setiap program dan projek dipetakan kepada sekurang-kurangnya satu SDG sekali gus membolehkan analisis ke atas bajet tahunan dibuat melalui lensa SDG.
“Ia penting supaya kerajaaan dapat mengenal pasti sebarang jurang pembiayaan merentasi semua SDG dan mengenal pasti sumber yang diperlukan untuk menanganinya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yayasan SDG Malaysia (Yayasan MySDG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Tengku Zafrul berkata, kementeriannya juga mengambil beberapa langkah tambahan bagi mencapai SDG termasuk menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia pada April tahun lalu dan Sukuk Kelestarian sehingga RM10 billion tahun ini seperti diumum dalam Bajet 2022.
Beliau berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa untuk memperkukuh keupayaan pembiayaan negara bagi memenuhi keperluan pembangunan SDG dan meningkatkan inisiatif Perolehan Hijau Kerajaan (GGP).
Dalam pada itu, katanya, pelancaran Yayasan MySDG penting bagi memastikan pengurusan dana yang lebih bersepadu bagi membiayai program dan projek di negara ini yang berkemungkinan berada di luar cakupan peruntukan tahunan kerajaan.
Sementara itu, Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Singapura dan Brunei, Karima El Korri dalam ucapannya berkata, penubuhan Yayasan MySDG dijangka mempercepatkan agenda SDG di negara ini.
Menurutnya, kerjasama Malaysia bagi mewujudkan dana ini adalah selaras dengan Agenda Pembangunan Lestari 2030 yang dipersetujui PBB pada Persidangan Kemuncak Pembangunan Mampan 2015.
“SDG berpotensi membantu mana-mana negara bagi menyeimbangkan pembangunan dan pengurusan yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Katanya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia kerana menunjukkan kemajuan berterusan dalam SDG saban tahun.










