MAIWP agih zakat RM725 juta sepanjang 2021 - Utusan Malaysia

MAIWP agih zakat RM725 juta sepanjang 2021

SKUAD Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP sedang mengumpul butiran penerima bantuan zakat di Kuala Lumpur yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini. - Foto ihsan PPZ MAIWP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan zakat keseluruhan berjumlah RM725,144,762 menerusi sejumlah 30 jenis Skim Bantuan Baitulmal.

Menurut hantaran dalam laman sosial rasmi agensi tersebut kelmarin, agihan zakat berkenaan diserahkan secara langsung dan tidak langsung kepada penerima asnaf yang berkelayakan.

“Ia disalurkan menerusi beberapa institusi pendidikan dan kebajikan, perbelanjaan pengurusan, pembayaran amil serta pembangunan dan penyelenggaraan prasarana umat Islam,” katanya.

Berdasarkan perbandingan dengan tahun 2020, MAIWP mengagihkan sebanyak RM707,968,418 susulan kutipan pada tahun sebelumnya cuma RM682,277,217.

Pengagihan yang agak besar itu dapat dilaksanakan kerana sepanjang tahun lalu, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di bawah MAIWP berjaya mengutip pelbagai zakat berjumlah RM828 juta.

Peningkatan besar berbanding RM761 juta direkodkan pada 2020 itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad di ibu negara pada 10 Januari lalu.

Pencapaian kutipan yang bertambah sembilan peratus itu hasil usaha gigih PPZ melakukan siri aktiviti promosi dan dakwah berterusan serta kesedaran Rukun Islam keempat tersebut.

Lonjakan itu turut disumbang melalui kepelbagaian saluran bayaran baharu yang disediakan memudahkan lagi umat Islam menunaikan kewajiban di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ini meliputi kaedah bayaran dalam talian antaranya menerusi kaunter zakat digital, pautan portal PPZ-MAIWP, aplikasi MyZakat, MyTemujanji, perkhidmatan Door-To-Door dan Ride 2U.

Masyarakat Islam di tiga Wilayah Persekutuan juga boleh membayar secara manual di kaunter tetap yang melibatkan 10 cawangan PPZ selain kaunter bergerak dan kaunter pandu lalu.

PPZ yang ditubuhkan pada 1991 lalu merupakan agensi zakat pertama dikorporatkan di Malaysia dengan jumlah pembayar individu ketika ini dianggarkan sudah lebih 500,000 orang.

Sementara itu, orang ramai yang ingin memohon bantuan zakat juga boleh berurusan terus di 10 buah Pusat Agihan Zakat selain pejabat MAIWP di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Bagi yang ada maklumat asnaf tercicir menerima agihan, boleh hubungi Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP menerusi akaun Facebook, laman sesawang rasmi atau talian 1-800-88-5222.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya