Macau Scam guna taktik buat panggilan beri bantuan kerajaan 

Macau Scam guna taktik buat panggilan beri bantuan kerajaan 

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai diminta berhati-hati dengan menerima panggilan menyatakan mereka layak untuk menerima insentif atau bantuan daripada pihak kerajaan walhal tindakan itu adalah taktik terbaharu digunakan sindiket penipuan Macau Scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, melalui pemantauan, sindiket ini didapati kerap mengubah modus operandi mereka.

Kata beliau, sindiket berkenaan kemudiannya akan meminta mangsa menyerahkan nombor identiti (ID) dan kata laluan perbankan dalam talian kononnya untuk memudahkan proses pembayaran bantuan tersebut.

“Setelah ID berkenaan diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Kamarudin, sindiket macau scam ini turut menghubungi individu dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasa seperti polis, mahkamah, bank negara dan sebagainya yang memaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.

Jelas beliau, bagi mengelakkan perkara ini, mangsa akan diminta untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh pihak sindiket. 

“Setelah mengikut semua arahan yang diberikan, mangsa akan mendapati wang dalam akaunnya berkurangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd. Kamarudin mengingatkan sebarang maklumat perbankan seperti id, kata laluan dan nombor telefon adalah data yang amat penting dan sulit. 

Jelasnya, maklumat-maklumat ini sama sekali tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain khususnya individu yang tidak dikenali dan pihak polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegini dalam menjalankan siasatan. 

“Berdasarkan rekod sejumlah 1,585 kes macau scam telah disiasat melibatkan kerugian berjumlah RM560,88 juta pada tahun lalu dan sebanyak 9,646 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ini.

“Orang ramai diseru untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan modus operandi yang digunakan oleh penjenayah. sebarang kemusykilan mahupun nasihat, berkaitan jenayah komersial, orang ramai bolehlah berhubung dengan pihak polis melalui ccid scam response center di talian 03-26101559/1599,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya