Long Tiger naik kereta ke Kedah - Utusan Malaysia

Long Tiger naik kereta ke Kedah

LONG TIGER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Long Tiger dipercayai melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah dengan menggunakan kereta hasil bantuan beberapa individu yang kini turut dicekup polis bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sehingga kini terdapat lapan suspek termasuk seorang wanita berusia antara 30-an hingga 40-an ditahan kerana disyaki bersubahat dengan lelaki berketurunan Rohingya itu.

Katanya, kesemua mereka kini sudah dibebaskan dengan jaminan polis, namun Long Tiger atau nama sebenar Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, dikenakan reman penjara bersabit kes terdahulu di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan siasatan, suspek utama dipercayai melarikan diri dari mahkamah dengan menaiki motosikal ke lokasi transit selepas meloloskan diri dari tahanan.

“Dia kemudian disyaki dibantu oleh individu-individu terbabit termasuk memotong gari, membeli pakaian, telefon bimbit dan kad sim sebelum dipercayai menuju ke Kedah dengan menaiki kereta,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada 28 Disember lalu, penjenayah paling dikehendaki itu dicekup polis ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Jalan Kuala Ketil selepas 13 hari meloloskan diri.

Tiga lelaki berusia 36, 38, dan 46 tahun termasuk seorang yang berperwatakan wanita turut dicekup pada hari sama sebelum tangkapan susulan dilakukan pihak polis.

Sementara itu, Kok Chin berkata, sebahagian daripada individu yang membantunya dipercayai telah mendapat sedikit upah dan berjanji akan memberikan bayaran tambahan selepas berjaya melarikan diri.

“Namun perkara itu masih dalam siasatan lanjut termasuk berapa jumlah wang yang telah diberikan atau dijanjikan Long Tiger kepada suspek-suspek lain yang membantunya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Long Tiger kini menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagai prosedur operasi standard (SOP) sebelum memasuki Penjara Sungai Udang bagi proses reman selanjutnya.

“Dia bukan positif Covid-19, tetapi perlu mengikuti prosedur reman penjara yang ditetapkan bermula semalam hingga 18 Januari ini.

“Kita juga telah melengkapkan kertas siasatan dan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Long Tiger sebelum ini berdepan pertuduhan pemerasan di bawah Seksyen 388 di Mahkamah Majistret Tangkak, selain pertuduhan rogol dan ugutan bunuh di Mahkamah Sesyen Muar.

Bagi kes melarikan diri dari tahanan, pemegang pemastautin sementara yang memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu berdepan dakwaan di bawah Seksyen 223/224.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya