Lima keluarga hilang tempat berteduh - Utusan Malaysia

Lima keluarga hilang tempat berteduh

KEADAAN rumah didiami Anche Le Tewi Raman sekeluarga dan empat keluarga lain yang terbakar di Jalan Haji Sirat, Renggam di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seramai 15 penduduk yang tinggal di Jalan Haji Sirat, di Renggam, di sini tergamam apabila kediaman mereka musnah disambar api dalam dalam kebakaran kira-kira pukul 9.15 malam tadi.

Salah seorang mangsa, Anche Le Tewi Raman, 61, berkata, kebakaran terbabit hanya diketahui terjadi selepas orang ramai yang melintasi di depan rumahnya menyedari kejadian itu sebelum menjerit bagi mengejutkan semua penghuni.

“Selepas perasan ada api membakar rumah, saya tidak lagi berfikir panjang selain meminta mereka semua melarikan diri tanpa sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting.

“Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan kepada semua ahli keluarga kecuali harta benda yang hangus terbakar,” katanya.

Kata Anche Le, rumah tersebut dibeli dengan harga kira-kira RM20,000 sejak lebih setahun lalu dan didiami bersama-sama anak, menantu dan empat orang cucunya.

Anche Le Tewi sebelum itu menerima wang bantuan kecemasan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang di Balai Raya Senari, di sini.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, langkah jangka pendek adalah menempatkan keluarga itu di rumah sewa sekitar Renggam dengan kosnya ditanggung sepenuhnya oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang.

Katanya, bagi langkah seterusnya adalah sama ada membina semula rumah yang terbakar itu untuk membolehkan semua mangsa tinggal semula di kediaman mereka atau mengusahakan penempatan di kawasan perumahan berdekatan.

“Diharapkan langkah yang diambil ini dapat meringankan beban ditanggung mangsa seterusnya membolehkan mereka menjalani kehidupan harian bersama keluarga masing-masing seperti biasa,” katanya.

Selain bantuan wang kecemasan turut diberikan kepada mangsa terlibat adalah kit bencana serta bantuan makanan daripada Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya