Lelaki maut kenderaan hilang kawalan - Utusan Malaysia

Lelaki maut kenderaan hilang kawalan

Pasukan bomba memeriksa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Batu 18, Keningau-Sook semalam.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Seorang lelaki maut apabila tercampak dari kenderaan yang dinaiki setelah bertembung dengan sebuah lori di Jalan Batu 18, Keningau-Sook semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, lelaki tempatan berusia 30an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Nor Rafidah Kasim berkata, dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Persona dan lori itu membabitkan tiga mangsa.

Pemandu Proton Persona maut di lokasi kejadian manakala, pemandu dan kelindan lori yang mengalami cedera parah dikejarkan ke hospital.

“Hasil siasatan awal mendapati sebelum kemalangan kenderaan dipandu mangsa bergerak dari arah jalan Keningau menuju ke Sook.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori.

“Akibatnya pertembungan itu, mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dipandu dan disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik Hospital Keningau untuk bedah siasat dan ujian toksikologi.

Kes disiasat dibawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nor Rafidah turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan mematuhi undang-undang jalan raya di samping memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau turut terlibat dalam operasi menyelamat mangsa kemalangan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN