GEORGETOWN: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas kayaknya dipercayai terbalik kira-kira tiga batu nautika berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang, pukul 8.45 malam tadi.
Mayat mangsa, Tony Liew, 48, dari Taman Alma, Bukit Mertajam dekat sini, ditemukan rakan mangsa dalam keadaan terapung serta masih memakai jaket keselamatan di lokasi kejadian.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi berhubung seorang lelaki hilang di laut ketika berkayak di perairan Batu Kawan kira-kira pukul 7.20 malam tadi.
Sehubungan itu, katanya, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan dengan mengatur gerak bot KILAT 4 ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.
“Operasi Carilamat turut melibatkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin Batu Uban serta rakan mangsa yang turut berkayak di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abd. Razak, berdasarkan keterangan rakan mangsa, Teh Keng Ee, dia dan beberapa rakan lain melakukan pencarian di perairan Batu Kawan sekitar pukul 6 petang selepas mangsa gagal dihubungi.
Katanya, rakan-rakan mangsa itu kemudian menjumpai kayak yang dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik, namun mangsa tidak kelihatan sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Batu Musang dan diserahkan kepada Balai Polis Batu Kawan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Abd. Razak menasihatkan agar orang menitikberatkan keadaan semasa laut serta cuaca terkini sekiranya mahu melakukan sebarang aktiviti reakrasi di laut dan dilakukan dalam keadaan berkumpulan bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin.
“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – UTUSAN ONLINE