LANGKAWI: Seorang lelaki tempatan ditahan setelah didapati melakukan sambungan pendawaian elektrik secara salah bagi melakukan perlombongan bitcoin di Persiaran Putra, Kuah, di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashaari berkata, lelaki tempatan berusia 28 tahun, sebelum itu ditahan Taman Simfoni, Kuah pada pukul 12.05 tengah malam.
Menurutnya, hasil soal siasat, suspek kemudian membawa pihak polis ke sebuah premis yang melakukan perlombongan bitcoin itu.
Katanya, polis dengan bantuan kakitangan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas itu melakukan pemeriksaan di premis terbabit.
“Pihak polis berjaya membuka premis tersebut dengan menggunakan kunci yang dirampas daripada suspek.
“Pemeriksaan di dalam premis tersebut menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan perlombongan jenis bitcoin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shariman memberitahu, antara peralatan yang dirampas adalah 180 unit mesin melombong bitcoin, satu unit penghala jaringan tanpa wayar (WiFi), lapan buah penyesuai rangkaian dan tiga unit modem WiFi.
Tambahnya, premis tersebut disyaki menjalankan sambungan elektrik secara haram sehingga menyebabkan kerosakan dan kerugian pada harta benda TNB.
“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.