Lelaki bela serindit tanpa permit ditahan Perhilitan

Lelaki bela serindit tanpa permit ditahan Perhilitan

SEBAHAGIAN burung bayan yang ditemui di sebuah premis di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. – FOTO/IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Padah menyimpan sejumlah burung yang dilindungi, seorang lelaki warga tempatan ditahan dalam satu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Johor baru-baru ini.

Menurut kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), ia hasil serbuan yang dilaksanakan ke atas sebuah premis di Daerah Kota Tinggi minggu lalu.

“Sejumlah burung bayan jenis serindit dan puling telah dirampas kerana didapati tidak memiliki sebarang dokumen penyimpanan yang sah daripada pihak Perhilitan,” kata agensi itu.

OBK Zon Selatan berkenaan ujarnya, turut mendapat sokongan kerjasama yang erat daripada pihak Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan Perbadanan Taman Negara Johor sendiri.

Kesemua hidupan liar yang disita tersebut kemudian telah pun dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Kluang untuk tindakan susulan dan penyiasatan selanjutnya dalam masa terdekat.

Kes itu disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan, pelakunya akan dihukum denda maksimum RM100,000 atau pun penjara sehingga dua tahun.

Spesies comel nadir ini sering menjadi buruan ramai peminat unggas liar tempatan dengan harganya boleh mencecah RM200 seekor bergantung kepada kecantikan warna tubuhnya.

Orang ramai yang ingin menyimpan burung dilindungi oleh kerajaan perlu mendapatkan lesen Perhilitan dengan dikenakan caj bayaran sebanyak RM10 bagi setiap ekor dipelihara itu.

Perbuatan menyimpan hidupan liar di mana-mana premis selain daripada dinyatakan dalam lesen juga dianggap sebagai kesalahan yang boleh didenda RM20,000 atau penjara setahun.

Lesen untuk aktiviti penangkapan bayan jenis serindit turut dikeluarkan agensi itu dari tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember sahaja manakala puling pula dilarang diburu sama sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya