Lebih lapan kali eksperimen dapat resepi kek Tom & Jerry - Utusan Malaysia

Lebih lapan kali eksperimen dapat resepi kek Tom & Jerry

KEK keju Tom & Jerry yang dihasilkan Nur Maisarah Sazli semasa PKP 1.0 bagi menjana pendapatan selepas tamat pengajian di Unisza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mendorong seorang siswazah dari Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini, menceburi bidang perniagaan dengan menjual kek keju bertemakan watak kartun Tom & Jerry buatan sendiri.

Percubaan Nur Maisarah Sazli, 26, berhasil apabila hampir 500 potong kek keju tanpa bakar itu laris terjual sejak 2020 hingga kini.

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu berkata, idea menghasilkan kek unik itu timbul selepas tamat menjalani praktikal apabila melihat menu berkenaan tular di Korea dan Thailand.

Katanya, berbekalkan kemahiran pastri yang dipelajari di GiatMara selepas tamat tingkatan enam, dia memberanikan diri menghasilkan kek itu walaupun tanpa sebarang resipi untuk dijadikan panduan.

“Kek itu mula viral di Korea dan Thailand pada Mac 2020, tetapi hasil carian di internet tidak menemukan sebarang resipi dalam bahasa yang difahami, jadi saya terpaksa mengolah resipi mengikut citarasa sendiri.

“Pada peringkat awal, lebih lapan kali eksperimen saya dengan dibantu dua adik gagal sebelum akhirnya mendapat resipi yang terbaik dan bertekad memulakan jualan bermula November tahun sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Nur Maisarah, bagi mengelak rasa muak pelanggan, kek keju Tom & Jerry itu turut dihasilkan dalam perisa coklat, berbanding resipi asal yang cuma mengetengahkan kek keju.

Katanya, sepotong kek berharga RM6 setiap satu dan jualan dibuat berdasarkan kotak yang mengandungi dua potongan kek selain sebiji kek dengan tujuh potongan yang berharga RM42.

Menurutnya, walaupun tanpa bakar, kek keju itu cukup rumit untuk dihasilkan kerana menuntut kesabaran tinggi berikutan risiko rosak ketika dikeluarkan dari acuan.

“Keseluruhan proses penghasilannya memerlukan teknik, bermula daripada membuat lapisan luar kek hingga untuk mengeluarkan kek yang sudah disejukkan bagi jualan.

“Jika tidak bernasib baik, lubang pada keju boleh hodoh kerana tidak dikeluarkan secara berwaspada. Malah, situasi itu masih dihadapi hingga kini dengan sekurang-kurangnya dua potongan kek,” katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat boleh melayari laman Instagram yes_bakeaway atau hubungi 011-1944 2829. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN