KPLB sedia bantuan pasca banjir RM150 juta - Utusan Malaysia

KPLB sedia bantuan pasca banjir RM150 juta

MAHDZIR Khalid (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Yayasan Peladang peringkat kebangsaan dan dermasiswa kepada pelajar terpilih pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di Padang Terap hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk bantuan pasca banjir termasuk di bawah inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan lain pula melibatkan kerja-kerja membaik pulih kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, longkang, surau dan masjid di kawasan luar bandar di negeri yang terkesan dalam bencana itu.

Menurutnya, bantuan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia untuk kerja-kerja membaik pulih rumah dan membina rumah baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM38.5 juta setakat 9 Januari lalu.

Katanya, peruntukan itu melibatkan kerja-kerja pembaikan sebanyak 1,879 buah dan membina rumah baharu pula 165 buah.

“Bantuan pasca yang diluluskan itu melibatkan Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di sini hari ini.

Mahdzir memberitahu, kerajaan menetapkan kos siling bagi baik pulih rumah pasca banjir adalah RM15,000 dan bagi bina baharu adalah RM56,000 bagi setiap unit.

Selain itu tambahnya, setakat ini, kementerian itu juga telah menerima sejumlah 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di negeri yang terjejas banjir itu.

“Jumlah permohonan membaik pulih rumah dan membina semula rumah itu dijangka meningkat selepas pihaknya mendapat data dan maklumat terbaharu daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terlibat,” jelasnya.

Dalam pada itu menurutnya, sebanyak RM50 juta daripada peruntukan itu digunakan untuk membaik pulih jalan kampung dan jalan perhubungan desa yang rosak dalam kejadian banjir tersebut.

“Kementerian juga menyediakan peruntukan RM50 juta lagi untuk membaik pulih projek ameniti sosial seperti surau dan masjid,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN