Koperasi perlu lebih berani terokai teknologi hijau - Utusan Malaysia

Koperasi perlu lebih berani terokai teknologi hijau

MOHD. Najib Mohd. Noor (kanan) menukar dokumen perjanjian persefahaman bersama Ahli Lembaga Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad (Kosetia), Ahmat Murtza Salleh (kiri) disaksikan Noh Omar (dua kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Usahasama Pembangunan Projek Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Bahan Buangan Kelapa Sawit di Seluruh Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan koperasi di negara ini perlu tampil lebih berani dalam menerokai teknologi hijau susulan peralihan minat masyarakat dunia kepada teknologi tersebut. 

Perkara itu juga sejajar dengan komitmen kerajaan apabila teknologi hijau sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan mapan. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, banyak produk terhasil daripada inovasi teknologi hijau seperti kertas, tisu, makanan haiwan ternakan dan baja dapat dimanfaatkan gerakan koperasi dalam konteks model perniagaan baharu itu.

Katanya, peluang yang diberikan kepada koperasi melalui inisiatif swasta seperti ini dapat memperlihat keberanian koperasi seperti Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) dan Koperasi Perkhidmatan Setia Berhad (KOSETIA) untuk melibatkan diri dalam pelaburan berkonsepkan teknologi hijau dan mampan. 

“Saya mengharapkan usaha yang direncanakan ini akan membuahkan hasil yang baik demi kebaikan seluruh koperasi di negara ini. 

“Usaha ini melibatkan mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing dan dengan muafakat kerjasama melibatkan kepakaran pelbagai akan mencetuskan impak memberi kesan jangka panjang kepada gerakan koperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Peluang Pemilikan Saham Dalam Syarikat Tersenarai Awam untuk Koperasi dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek (MoU) Pembangunan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Bahan Buangan Kelapa Sawit Seluruh Negara di sini hari ini . 

Sesi menandatangani itu membabitkan antara Nextgreen Global Berhad, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC); KOOP Sahabat dan KOSETIA. 

Menurut Noh, pemimpin koperasi berpeluang untuk meneliti satu lagi peluang iaitu pemilikan saham dalam syarikat tersenarai awam iaitu Syarikat Nextgreen Global Berhad dan mempelopori teknologi hijau inovatif dengan menerapkan konsep sifar sisa dalam bentuk lestari serta sedang membangunkan Taman Teknologi Hijau (GTP) yang berkeluasan 410 ekar di Pekan, Pahang. 

Katanya, GTP yang dibangunkan oleh Nextgreen ini dilengkapi dengan teknologi bersepadu (integrated technology) yang bermatlamat untuk memacu perkembangan ekonomi hijau dalam negara dan menjadi satu peluang besar terbuka untuk koperasi.

 “Malah, penglibatan MGTC, agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diberi mandat oleh kerajaan untuk memperkasakan pertumbuhan hijau, di samping menangani perubahan iklim ke arah kelestarian alam sekitar dilihat mampu berperanan untuk menjadi pemangkin kepada kejayaan projek yang dibangunkan syarikat ini.

“Pemikiran baharu dalam kalangan pemimpin koperasi iaitu keupayaan untuk memperbaharui model perniagaan koperasi masing-masing berdasarkan senario semasa memberikan impak besar terhadap perkembangan ekonomi semasa,” katanya. 

 Sementara itu, Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, perkembangan dan signifikan industri kelapa sawit ditambah pula Malaysia yang merupakan negara kedua terbesar di dunia dalam menghasilkan minyak sawit menjadi antara sebab koperasinya melabur. 

Katanya, pihaknya melabur di dalam projek teknologi hijau industri kelapa sawit membabitkan pengurusan dan pelupusan sisa buangan tandan kosong kelapa sawit serta keperluan untuk mengorak langkah bagi melestarikan inisiatif negara ke arah Sifar Sisa.

“Sisa buangan buah tandan kosong kelapa sawit adalah merupakan sisa buangan paling besar bahkan perlu diuruskan untuk pelupusan sisa tersebut dengan sistematik dan baik. 

“Ini adalah untuk memastikan kelestarian industri dan alam sekitar. Sehubungan dengan itu, Koop Sahabat melihat kepada keperluan untuk mewujudkan pusat pengumpulan dan pemprosesan bahan buangan kelapa sawit ini. 

“Koop Sahabat juga berpendapat projek ini bakal memberi manfaat besar kepada industri kelapa sawit di Malaysia yang mana memberi peluang agar sisa buangan buah tandan kosong dapat diuruskan secara efektif dan teratur serta mampu menjadi industri hiliran yang dapat memberikan peluang janaan pendapatan kepada pelabur dan koperasi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.