IPOH: Imej dan reputasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini tercalar berikutan aduan dan laporan salah laku dalam kalangan petugasnya, diselitkan dalam khutbah solat Jumaat di masjid-masjid di negeri hari ini.
Teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk ‘Azam Melaksanakan Tadbir Urus Yang Beramanah’ itu menghurai, keadaan itu mengakibatkan bertambah terhakis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu.
“Negara turut menubuhkan SPRM sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menangani rasuah namun usaha mencegah dan membendung rasuah tidak memberi erti dan tidak memberi makna jika tidak ada kesungguhan di peringkat penguatkuasaan, penyiasatan, pendakwaan dan hukuman apatah lagi jika imej dan reputasi SPRM kebelakangan ini turut tercalar.
“Ini berikutan ada aduan dan laporan salah laku dalam kalangan para petugas di suruhanjaya berkenaan, yang mengakibatkan bertambah terhakis kepercayaan dan keyakinan rakyat,” hurai khutbah tersebut.
Teks khutbah yang dibacakan juga menyentuh mengenai laporan, tangkapan, dakwaan dan isu sepanjang tahun 2021 yang menunjukkan keadaan rasuah di negara kita mencapai tahap yang semakin parah.
Jelas khutbah itu, adegan suap dan terima dan suapan yang bertopengkan derma hari ini seolah-olah perkara biasa, dilakukan tanpa ada rasa malu dan tiada langsung menunjukkan sebarang ketakutan akan hari pembalasan di Padang Mahsyar.
“Kebimbangan terhadap perlakuan pecah amanah dan rasuah semakin disuarakan. Rakyat merasa semakin kecewa dan bertambah hilang keyakinan akan kesungguhan negara untuk membasmi rasuah.
“Rasuah dilihat semakin membarah, menjejaskan keyakinan pelabur, menyebabkan kurang peluang pekerjaan dan meningkatkan pengangguran, akibatnya rakyat semakin derita. Kini, sudah kedengaran suara yang mendesak agar negara menjatuhkan hukuman mati kepada pelaku rasuah.
“Mengenakan hukuman mati bukan penyelesaian, jika hukuman tersebut hanya tinggal dalam bentuk tulisan di atas kertas. Negara sebenarnya memiliki peruntukkan undang-undang yang cukup untuk mencegah dan membendung rasuah,” hurai khutbah.
Dalam huraian mengenai rasuah, teks khutbah yang dibacakan menjelaskan, perbuatan pecah amanah dan rasuah telah menjadi antara punca yang menyebabkan negara mengalami kegagalan dalam pelbagai dimensi, merangkumi kepimpinan, ekonomi, sosial, pendidikan, sains dan teknologi.
Setiap perbuatan rasuah, jelas teks khutbah itu, membawa kesan hiliran, setiap perbuatan rasuah sudah cukup untuk merencatkan pelbagai sektor lain kerana setiap sektor saling berangkai dan saling berkait.
“Kegagalan negara mencapai wawasan-wawasan murni seperti Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 bukan kerana kita kurang peluang dan sumber tetapi kerana berlakunya ketirisan disebabkan sifat pecah amanah dan perbuatan rasuah.
“Demikian juga, cabaran yang akan kita hadapi untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” jelas khutbah.
Khutbah yang dibacakan turut menyatakan kebimbangan mengenai kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah tahun 2020 apabila Malaysia mencapai 51 mata pada tahun itu, berbanding 53 mata pada tahun 2019, mengakibatkan Malaysia jatuh enam anak tangga, ke tangga ke-57 daripada 180 negara yang dinilai dalam Indeks Persepsi Rasuah Tahun 2020.
“Dalam kalangan negara Islam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan catatan 70 mata berada di tangga teratas, iaitu pada tangga ke-21. Lebih separuh negara-negara Islam berada di tangga 20 paling bawah.
“Satu keadaan yang sangat janggal kelihatan berlakunya jurang antara apa yang dianjurkan oleh Islam dengan apa yang diamalkan oleh ummah yang pada zahirnya menerima Islam sebagai pegangan akidah,” jelasnya.
Sehubungan itu, khutbah menyeru semua pihak mencari penyelesaian yang tegas dan tuntas untuk mencegah, membendung dan menghapus barah rasuah.
“Semua pihak, secara bersama, wajib mengambil langkah berani supaya berlakunya gerakan jihad memerangi rasuah, agar negara kembali dimakmurkan dan kehidupan rakyat kembali disejahterakan. Pemimpin, media, masyarakat dan rakyat wajib berganding bahu menghapuskan barah rasuah dengan tekad, azam dan kesungguhan memenuhi satu tuntutan fardu kifayah,” jelas khutbah.