SHAH ALAM: Jumlah kes perceraian di Selangor dilihat menurun pada tahun lalu berbanding 2020 dan 2019 apabila sebanyak 8,588 kes dilaporkan sepanjang 2021.
Berbanding 2019, sebanyak 13,287 kes perceraian dilaporkan dan angka tersebut dilaporkan menurun pada 2020 dengan catatan 10,446 kes ketika pandemik Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, faktor umum yang menyebabkan berlaku perceraian tidak boleh dikira sebagai penyumbang kepada penurunan tersebut memandangkan pendaftaran tidak dibuka dalam tempoh PKP.
“Kita tidak boleh mengatakan kes menurun, kerana sewaktu PKP ada beberapa kali pejabat ditutup dan kita ada jadual. Kalau kita hendak melihat trend mungkin tahun ini boleh lihat keadaan sebenar.
“Jadi halangan untuk mengadakan pendaftaran dan perbicaraan di Mahkamah Syariah menyebabkan bilangan perceraian menurun, tetapi kalau kita lihat bulan demi bulan mesti boleh nampak alirannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian sijil kepada peguam syarie dalam Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor bagi tahun 2020 dan 2021 di Jabatan Kehakiman dan Syarie Selangor (JAKESS), Bangunan Sultan Idris Shah, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 89 permohonan diterima untuk mendapatkan pentauliahan sebelum 59 diberi kelulusan menjadikan jumlah peguam syariah di Selangor lebih 500 orang.
Abdul Aziz menambah, sukar untuk menentukan PKP menjadi faktor peningkatan atau penurunan kes penceraian.
Jelasnya lagi, sehingga kini faktor utama yang menjadi punca kepada perceraian di negeri ini adalah ketidaksefahaman antara pasangan, pasangan tidak memberi nafkah dan keganasan rumah tangga.
“Semasa PKP, berbagai-bagai masalah timbul dalam keluarga, ada yang kehilangan mata pencarian, perniagaan tidak menjadi, dibuang kerja, pendapatan isi rumah terkesan serta tidak dapat bayar hutang, bila banyak masalah sedemikian timbulah isu perceraian.
“Bila PKP memang tak banyak keluar rumah, ditambah pula rumah kecil di situlah berkumpul. jadi bila seminggu dua minggu mungkin okey, lama kelamaan pun timbul isu lain pula,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE