PUTRAJAYA: Tempoh pandemik Covid-19 menyaksikan peningkatan statistik membabitkan kes kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, hal ini kerana antara 2020 dan 2021 menyaksikan peningkatan pendaftaran kes itu sebanyak 42 peratus.
Sehubungan itu, beliau berkat, peningkatan mendadak itu adalah masalah serius dan menyebabkan pihaknya telah mengadakan dialog bersama badan Eksekutif mengenai mewujudkan lebih banyak mahkamah jenayah seksual kanak-kanak.
“Ini akan melibatkan pertambahan bilangan jawatan yang diperuntukkan kepada Badan Kehakiman untuk mendengar kes.
“Kami berharap langkah ini membantu mengurangkan bilangan itu (jumlah kes),” katanya dalam ucapan Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Pada ketika ini, hanya terdapat dua Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak iaitu di Putrajaya dan Kuching, Sarawak.
Difahamkan, badan kehakiman bercadang untuk mewujudkan dua lagi mahkamah khas membicarakan mengenai jenayah seksual membabitkan kanak-kanak di Johor Bahru dan Petaling Jaya, Selangor.
Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata, bilangan pendaftaran kes rasuah dilaporkan antara 2017 dan 2021 tidak konsisten apabila ada tahun merekodkan jumlah kes yang banyak.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kes antara 2020 dan 2021 menunjukkan sedikit peningkatan.
“Memandangkan rasuah penyakit dalam masyarakat, jadi ini adalah penting untuk dipantau dengan teliti kerana ia menjadi kayu pengukur imej negara di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, Tengku Maimun memberitahu, jumlah kes keluarga menurun sebanyak 13.2 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun fakta ini tidak mencerminkan jumlah sebenar kes sewaktu pandemik sebagaimana dilaporkan oleh media,” katanya.
Selain itu, merujuk kepada kes pemerdagangan manusia, Tengku Maimun berkata, walaupun bilangan kes menunjukkan penurunan sejak empat tahun lalu namun ia bukanlah satu perbezaan yang ketara.
Tambahnya, pelbagai perintah kawalan pergerakan yang dikenakan sepanjang tempoh pandemik termasuk pergerakan keluar masuk negara ini boleh dikatakan antara faktor penurunan jumlah kes 402 kes pada 2020 kepada 333 kes tahun lalu.
Sebelum, Covid-19 menyerang dunia, statistik kes pemerdagangan manusia turut menunjukkan sedikit penurunan bagi tahun di antara 2018 dan 2019.
“Kami mengambil berat mengenai penurunan dalam ranking antarabangsa, bagaimanapun adalah difahami bahawa dalam sistem adversarial seperti kita, mahkamah tidak berupaya untuk mengambil langkah aktif bagi menghapuskan pemerdagangan manusia.
“Walaupun kes sedemikian dibawa di hadapan Mahkamah, hakim mesti memutuskannya mengikut undang-undang, fakta dan bukti,” katanya. -UTUSAN ONLINE