KUALA TERENGGANU: Pas tidak mengambil peduli pandangan mana-mana pemimpin UMNO yang boleh mengeruhkan hubungan kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN).
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, Pas kekal berpegang teguh kepada keputusan UMNO yang masih mahu bekerjasama dalama gagasan tersebut.
“UMNO sendiri masih mahu mengekalkan MN manakala Pas juga tidak berhasrat memutuskan hubungan baik ini.
“Dalam politik, kita tidak ambil pandangan peribadi, malah Pas dan UMNO hanya menerima keputusan bersama dalam parti,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Pendidikan Islam Terengganu 2021 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berang dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyokong kerjasama MN.
Nur Jazlan berkata, Pas bukan parti yang kuat kerana kalangan pemimpin parti itu didakwa bersikap pentingkan diri sendiri. – UTUSAN