Kementerian Pertahanan puji pengurusan banjir empat negeri - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan puji pengurusan banjir empat negeri

HISHAMMUDDIN Hussein (dua, dari kanan) memeriksa aset ATM di Kem Batalion 18, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, Kuala Nerus hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pertahanan memuji struktur pengurusan banjir di empat negeri yang disifatkan mempunyai koordinasi baik antara agensi-agensi kerajaan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, maklum balas itu diterima hasil lawatan kerja sempena Op Murni ke Kelantan, Pahang, Johor dan terbaharu di Terengganu.

Katanya, kerjasama erat yang terjalin di setiap negeri berkenaan bukan sahaja melancarkan gerak kerja membantu mangsa banjir, malah memudahkan segala urusan dalam menangani bencana termasuk Covid-19.

“Kerjasama di antara kepemimpinan empat negeri dengan ATM adalah cukup membanggakan sekali gus memudahkan kita berdepan banjir. Tahniah diucapkan kepada menteri besar, kerajaan negeri dan agensi-agensi.

“Ini sedikit sebanyak membuktikan, jika kita mempunyai struktur dan kepemimpinan dalam mengkoordinasikan semua pihak, maka kita dapat membantu rakyat jelata,” katanya dalam sidang akhbar Op Murni ATM di Kem Batalion 18, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, seramai 3,858 pegawai dan anggota di samping hampir 500 aset termasuk 220 trak, 131 bot dan empat helikopter digerakkan ke negeri terjejas banjir, setakat ini.

Katanya, walaupun situasi banjir meningkat di Johor, namun tiada keperluan untuk menambah kekuatan ATM di negeri berkenaan.

“Bagaimanapun, semua anggota kini dalam keadaan bersiap-siaga untuk digerakkan jika ada keperluan dan bukan sahaja di Johor tetapi juga di negeri-negeri lain,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN