RANAU: Kementerian Pendidikan belum memutuskan untuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk operasi sekolah susulan peningkatan kluster institusi pendidikan di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementerian sentiasa meneliti laporan daripada pejabat pendidikan daerah (PPD) mengenai perkembangan semasa jangkitan Covid-19 di sekolah-sekolah.
Beliau berkata, kementeriannya dan Kementerian Kesihatan akan memantau secara dekat mengenai kewujudan kluster-kluster yang berlaku di sekolah.
“Sekiranya ada keperluan, kita akan mengumumkan apa yang perlu. Jika ada SOP yang perlu diperketatkan, kita akan memaklumkannya kelak.
“Pada masa ini, kita masih dalam proses mendapatkan laporan lebih lengkap mengenai kluster-kluster yang mencatatkan kes yang tinggi,” katanya semasa lawatan kerja ke tapak baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mesilau, hari ini.
Walau bagaimanapun, Mohamad menasihatkan pihak sekolah dan pentadbir sekolah agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.
Jelas beliau, KPM sentiasa memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan pelajar.
Hari ini sahaja, tiga kluster institusi pendidikan dilaporkan di Sabah membabitkan pelajar SMK Tun Fuad Stephens Kiulu, Tuaran; SMK Keningau 1; dan SMK Terusan, Lahad Datu.
Secara keseluruhan 44 orang pelajar disahkan positif Covid-19 di ketiga-tiga sekolah yang mencatatkan kluser baharu di Sabah hari ini.- UTUSAN ONLINE