BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan memperincikan garis panduan kebenaran bergiat aktif dalam politik membabitkan petugasnya.
Perdana Menteri berkata, garis panduan tersebut nanti akan memperincikan segala aspek termasuk sama ada boleh memegang jawatan politik ataupun tidak.
“Saya hanya umumkan kebebasan golongan pendidik seperti guru dan petugas Kemas untuk kembali bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain.
“Segala perinciannya akan ditentukan oleh Kemas, cuma saya berharap ia jangan menjejaskan tugas hakiki mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Bera di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, golongan pendidik seperti guru dan petugas Kemas dibenarkan bergiat aktif dalam politik berkuat kuasa serta-merta.
Ismail Sabri Yaakob berkata, serentak dengan itu pekeliling terdahulu yang memberi amaran dan menyekat golongan pendidik daripada berpolitik sudah tidak terpakai.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kebenaran berpolitik pernah diberikan kepada golongan pendidik namun semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara perkara itu disekat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau berharap pihak Kemas akan segera memperincikan garis panduan tersebut.
“Kemas sudah pun ada peraturan. Jadi lihat kembali peraturan sedia ada dan buat perubahan atau penambahbaikan,” katanya.