Kejadian fenomena belalai darat boleh berulang - Utusan Malaysia

Kejadian fenomena belalai darat boleh berulang

TANGKAP layar daripada rakaman video kejadian puting beliung yang melanda Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Penduduk yang tinggal di kawasan kejadian puting beliung di Bukit Kayu Hitam dekat sini dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada kerana fenomena itu boleh berulang selepas ini.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Ab. Aziz berkata, fenomena tersebut juga dikenali sebagai belalai darat itu boleh menjadi lebih besar serta membawa kemusnahan lebih teruk berbanding kejadian semalam.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu bukan pertama kali dilaporkan berlaku di Kedah malah pernah membawa kemusnahan lebih besar di beberapa kawasan di negeri ini.

“Pada waktu sekarang cuaca agak panas dan tiupan angin agak kencang. Apabila wujudnya awan kumulonimbus, itu yang menyebabkan terbentuknya belalai darat.

“Fenomena ini sering terjadi di utara Semenanjung tanah air terutamanya di kawasan landai. Namun pemerhatian terhadap kejadian yang tular semalam  mendapati kekuatan belalai darat tersebut hanyalah di tahap sederhana,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sejak semalam, tular klip video memaparkan pembentukan puting beliung tersebut yang menimbulkan suasana cemas dalam kalangan penduduk di kawasan terlibat.

Difahamkan, tiada mangsa yang terjejas teruk akibat fenomena itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, kejadian sama sebelum ini turut pernah dilaporkan berlaku di Langkawi dan Pendang.

“Pada 2014 fenomena itu pernah melanda beberapa kawasan dalam daerah Kota Setar dan kerosakan pada waktu itu lebih teruk dengan bumbung beberapa rumah diterbangkan angin manakala pokok-pokok bersaiz agak besar turut tumbang serta tercabut.

“Disebabkan itu sekiranya fenomena ini berlaku lagi, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi kawasan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN