Kawasan cerun berisiko dipantau elak insiden tanah mendap - Utusan Malaysia

Kawasan cerun berisiko dipantau elak insiden tanah mendap

IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan memantau kawasan berisiko berlaku tanah runtuh dan mendap seperti di cerun-cerun  selain memulihkan kerosakan bagi mengelakkan berlaku tanah runtuh pada masa hadapan. 

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertaniannya, Izham Hashim, hasil perbincangan dengan pihak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) pihaknya mengenal pasti beberapa kawasan di Gombak dan Hulu Langat mengalami masalah melibatkan cerun dan tanah berisiko mendap.

“Peristiwa tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan baru-baru ini walaupun tidak melibatkan kawasan yang tinggi tetap menjadi perhatian untuk kita mengambil langkah jangkamasa panjang.

“Sehubungan itu saya dan Ikram, akan memastikan masalah yang berlaku di Seri Kembangan dan di kawasan lain di negeri ini tidak berulang ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS hari ini yang dilancarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Utusan Malaysia sebelum ini lalu melaporkan sebanyak lima kenderaan terjunam lima hingga enam meter dalam longkang besar di Lestari Perdana Seri Kembangan susulan runtuhan tebing akibat hujan lebat.

Rentetan daripada insiden tersebut, kerja memasang cerucuk bagi memperkukuh tebing yang runtuh telah dilaksana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada hari yang sama.

Mengulas lanjut Izham berkata, pihaknya mengarahkan MBSJ untuk menyiapkan segera cerucuk bagi memperkukuh tanah di kawasan mendapan tersebut bagi memastikan tiada mendapan susulan berlaku.

“Untuk jangka masa panjang,  saya meminta Ikram menyiasat keadaan tanah yang tidak stabil di kawasan tersebut. Setelah butir-butir kajian sudah diperolehi kita akan bangunkan longkang monsun yang besar di kawasan tersebut.

“Saya yakin ada pergerakan air di bawah tanah menyebabkan ia menjadi longgar dan menyebabkan berlaku gelongsoran,”katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN