Karnival pelancongan tawar 2,000 peluang pekerjaan 

Karnival pelancongan tawar 2,000 peluang pekerjaan 

NOLEE Ashilin Mohamed Radzi (tiga dari kiri) menunjukkan poster Karnival Kerjaya & TVET dalam sidang akhbar di Ipoh semalam. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sektor pelancongan di negeri ini membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan melalui Karnival Kerjaya dan TVET anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) yang akan diadakan di Taiping pada Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, karnival itu dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) dan Tourism Perak. 

Menurutnya, karnival itu akan diadakan di Dewan Serbaguna Taman Kaya, Taiping pada Sabtu ini.

“Karnival ini menawarkan 2,500 peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan yang sebelum ini terjejas teruk akibat  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. 

Nolee Ashilin berkata, sebanyak 15 majikan akan mengambil bahagian dalam karnival tersebut.

Sementara itu, Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata, karnival itu secara tidak langsung dapat membantu memulihkan industri pelancongan yang mengalami kekurangan pekerja. 

Menurutnya, karnival ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tetapi mengisi kelompongan dalam industri pelancongan di negeri ini.

“Sektor pelancongan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat sebaik sahaja PKP ditamatkan tetapi pemain-pemain industri pelancongan tidak mencukupi. 

“Kita harap karnival seperti ini dapat membantu menguar-uarkan kekosongan yang terdapat dalam sektor pelancongan bukan sahaja di negeri ini tetapi secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN