JAIS lancar Tabung Dana Wakaf Al-Quran ganti naskhah rosak akibat banjir - Utusan Malaysia

JAIS lancar Tabung Dana Wakaf Al-Quran ganti naskhah rosak akibat banjir

ANTARA naskah al-Quran yang rosak akibat banjir pada minggu lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melancarkan Tabung Dana Wakaf Al-Quran bagi membeli sekurang-kurangnya 50,000 naskhah al-Quran dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tabung terbabit diwujudkan sehingga 5 Mac nanti selepas kedudukan terakhir data tindakan bagi pelupusan al-Quran dan data terkini sekolah dan pelajar JAIS terjejas akibat banjir dibentangkan pada Mesyuarat Penyelarasan Teknikal Banjir JAIS semalam.

Katanya, sehingga ke hari ini, lebih 155 tan naskhah al-Quran rosak dan kini dalam proses pelupusan.

“Sejak tabung ini diperkenalkan semalam, ia telah memperoleh sumbangan sebanyak RM383,000 yang disumbangkan oleh pelbagai pihak dan agensi.

“Kita menyasarkan sumbangan sehingga RM1.5 juta bagi membeli sekurang-kurangnya 50,000 naskhah al-Quran dengan harga kos RM30 sebuah untuk dihantar ke masjid, surau, sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan JAIS dan maahad tahfiz swasta,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Dana Wakaf Al-Quran (Pasca Banjir) di Bangunan JAIS, di sini hari ini.

Antara penyumbang ialah Lembaga Zakat Selangor dan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor masing-masing menyumbang sebanyak RM100,000, Majlis Agama Islam Selangor (RM50,000), Kumpulan My Sutera (RM30,000) dan Perbadanan Wakaf Selangor (RM20,000).

Selain itu, Yayasan Taqwa dan Tabung Sumbangan Jemaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah masing-masing memberikan sumbangan RM20,000, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Persatuan Pegawai Hal Ehwal Islam Selangor dan Kelab-Kelab Kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing RM10,000.

Selain itu, turut menyumbang adalah Masjid Ara Damansara (RM7,000), Smart Force Security Services Sdn. Bhd. (RM3,000), Pertubuhan Pembangunan Kecemerlangan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (RM2,000) dan Kelab Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Selangor (RM1,000).

Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan memberitahu, tragedi banjir besar pada 18 Disember lalu di Selangor, bukan hanya meragut nyawa, malah telah mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda yang banyak.

Jelasnya, tragedi itu turut menyebabkan kerosakan pada 33 buah masjid, surau (90), sekolah rendah agama (56) dan maahad tahfiz swasta (35).

“Selain melibatkan kerosakan struktur tanah, bangunan, elektrikal dan kemudahan asas sedia ada, banjir kali ini turut menjejaskan keperluan asas jemaah masjid dan surau serta pelajar sekolah termasuklah naskhah al-Quran di masjid dan surau serta naskhah masing-masing milik pelajar sekolah di bawah kelolaan JAIS.

“Atas rasa keprihatinan dan tanggungjawab yang perlu didukung bersama oleh semua pihak, JAIS mengajak semua pihak untuk bersama mengisi tuntutan ini melalui kaedah menginfakkan wang untuk tujuan wakaf al-Quran ke Tabung Dana Wakaf Al-Quran Selangor (Pasca Banjir),” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melalui akaun Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Maybank Islamic : 562106718620).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN