KUALA NERUS: Allahyarham Mohd. Huzir Mohamed, 35, pernah bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) sebelum memasuki 40 tahun, namun impian itu tidak kesampaian apabila ajalnya tiba, tahun lalu.
Isterinya, Nor Hidayu Abdul Wahab, 30, berkata, suaminya yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Khidmat Pengurusan di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menghembuskan nafas terakhir pada 18 Ogos 2021 akibat serangan jantung.
Katanya, kesibukan kerja tidak menghalang Allahyarham menyambung pengajian sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), sejurus selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 2018.
“Semasa kami berkahwin, arwah memberitahu niatnya untuk sambung belajar hingga ke PhD sebelum 40 tahun.
“Segala kerja keras suami berbaloi apabila tamat pengajian sarjana pada 2020, tetapi saya sedih kerana arwah tidak sempat meraikan kejayaannya menggulung ijazah,” katanya kepada pemberita selepas menerima Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-12 Unisza, di sini hari ini.
Nor Hidayu berkata, perasaan hiba menyebabkan air matanya menitis ketika naik ke pentas menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bagi pihak Mohd. Huzir.
Malah, katanya, tanpa kehadiran keluarga tentunya dia tidak kuat untuk hadir ke majlis konvokesyen itu.
“Allahyarham suami merupakan anak yatim piatu dan mujurlah ahli keluarga saya datang menemani, tanpa mereka tentunya saya tidak kuat untuk hadir ke majlis ini,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai cermin mata.
Menurut Nor Hidayu, dia masih terkesan dengan pemergian Mohd. Huzir terutama apabila kejadian itu berlaku pada tarikh sama ulang tahun perkahwinan ketiga mereka.
Katanya, kematian suaminya disedari apabila rakan Mohd. Huzir memaklumkan gagal menghubungi Allahyarham, sekali gus dia bergegas pulang ke rumah di Kampung Ladang, Kuala Terengganu dari tempat kerja untuk memeriksa keadaan. – UTUSAN