Ibu reda pemergian anak tersayang - Utusan Malaysia

Ibu reda pemergian anak tersayang

TUNG Sing Chuang (kanan) menyampaikan sumbangan bagi pengurusan jenazah kepada Salimah Surep (berkerusi roda) di rumahnya di Rumah Murah Pekan Nanas, Pontian, Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak yang menjadi harapan kepada keluarga pergi buat selama-lamanya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Melaka pada 15 Januari lalu.

Menurut Salimah Surep, 64, arwah anaknya, Muhammad Shahrul Fadzli Jemahal, 24, membantu perbelanjaan keluarga sebanyak RM200 sebulan ketika bekerja di sebuah kilang sejak 2020.

Katanya, sebelum ini dia dan suami, Jemahal Ahmat, 69, menjalankan perniagaan dengan membuka gerai sementara di Taman Utama dengan menjual sarapan pagi termasuk kuih-muih, nasi lemak dan sebagainya.

“Saya mungkin kembali menjalankan perniagaan tersebut walaupun kini sakit kaki dan terpaksa menggunakan kerusi roda bagi mencari pendapatan tambahan untuk menampung keluarga seramai empat orang.

“Pemergian arwah anak yang selalu banyak membantu kami, memungkinkan saya menjalankan perniagaan semula menjual kuih-muih di Taman Utama nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Murah, Pekan Nanas, di sini kelmarin.

Mengikut laporan akhbar, ketika kejadian, arwah bersama dua lagi rakannya berusia 31 dan 36 yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 176.6 arah utara Lebuh Raya Utara Selatan.

Mereka bertiga dalam perjalanan bercuti di A’Famosa Resort apabila motosikal yang ditunggan oleh Allahyarham Muhammad Shahrul Fadzli terbabas setelah bergesel dengan motosikal rakannya ketika memotong sebuah lori.

Salimah sebelum itu menerima kunjungan Pengarah Perkeso Johor, Tung Sing Chuang; Pegawai Skuad Perkeso Prihatin, Nurul Ainna Nadhirah dan wakil Ahli Parlimen Tanjung Piai, Tan Eng Meng.

Dalam kunjungan tersebut, Sing Chuang menyampaikan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan bayaran pertama pencen bulanan sebanyak RM363.75.

Katanya, buat sementara ini, dia belum bercadang untuk berniaga semula namun tidak menolak kemungkinan pada bulan hadapan memandangkan pencen bulanan yang diterima suaminya sebanyak RM600 sebulan.

Jelas Salimah, kakak kepada Allahyarham, Norhayati, 31, baru sahaja menjalani rawatan hemodialysis pada Disember lalu yang tentu memerlukan perbelanajaan tambahan semasa rawatan dan sebagainya.

“Salah seorang anak saya, Muhammad Fadzil, 37, yang tinggal bersama-sama kini bekerja di sebuah pasar raya di Jalan Sawah,” tambahnya.

Katanya, dia berterima kasih dan bersyukur kerana kemalangan yang menimpa anaknya itu mendapat perhatian daripada Perkeso yang segera memberikan bantuan di samping menguruskan pencen bulanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.