Hati-hati buat kenyataan PRN Johor, jika betul mahu 'just do it' - Utusan Malaysia

Hati-hati buat kenyataan PRN Johor, jika betul mahu ‘just do it’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kepimpinan kerajaan negeri ini diminta untuk mengambil pendirian berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya melibatkan kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, peringatan itu perlu dibuat bagi memastikan tiada kenyataan yang boleh dilihat mengelirukan sekali gus merugikan kerajaan negeri.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin memberitahu, polemik politik yang berlarutan dan tidak sihat akan menimbulkan keraguan dalam kalangan pelabur, sekaligus memberi impak negatif.

“Jika memang benar ada perancangan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau diarahkan untuk berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah dan konkrit, Menteri Besar (Datuk Ir. Hasni Mohammad) just do it.

“(Jika PRN Johor diadakan) Tidak perlu berkongsi pentadbiran, seterusnya dapatkan kuasa autonomi demi memudahkan pentadbiran dengan lebih selesa. 

“Tidak perlu terus menekan dan mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat mahupun kakitangan kerajaan agar mereka tidak hilang fokus kepada tugasan dan tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, polemik politik yang berpanjangan akibat kerakusan ahli politik hanya akan mengakibatkan rakyat negeri ini terus terhimpit dengan pelbagai cabaran semasa, termasuk akibat pandemik Covid-19.

“Konflik dan kerakusan merealisasikan agenda politik parti kini sekali lagi telah mencetuskan kecelaruan serta kekeliruan di negeri Johor dimana rakyat kini diselubungi dan dibebani dengan 1,001 persoalan sama ada akan berlakunya PRN di Johor.

“Apa yang lebih mengelirukan dan menjadi persoalan adalah apakah motif atau relevannya mengadakan PRN tatkala rakyat sedang berada dalam situasi tertekan dan bertungkus lumus untuk kembali kepada kehidupan seharian yang normal setelah dilanda serangan pandemik Covid-19 dan juga bencana banjir,” ujarnya.

Hal itu kerana katanya, keputusan mengadakan PRN dalam waktu terdekat ini dilihat sebagai satu pembaziran besar yang amat merugikan khususnya apabila ianya melibatkan duit rakyat.

Mohd. Izhar turut memberitahu, alasan PRN perlu diadakan kerana pentadbiran Menteri Besar berada dalam keadaan majoriti yang amat tipis dan tidak selesa kelebihan satu kerusi adalah tidak relevan.

“Hal ini kerana kerajaan Johor tidak menerima sebarang tekanan, ugutan, serangan atau sebarang usaha dari pihak pembangkang sepertimana yang berlaku di negeri lain. 

“Malah apa yang lebih mengelirukan, Pakatan Harapan (PH) Johor pula yang mengambil pendekatan tegas dan jelas dengan menentang sekeras-kerasnya agar PRN tidak diadakan dalam tempoh masa yang terdekat.

“Ini kerana semua pihak sedang sibuk dan fokus dengan usaha memulihkan ekonomi yang lumpuh dan seterusnya memelihara kesejahteraan rakyat. Pelik rasanya apabila pihak pembangkang berpendirian sebegini rupa dan bukannya pihak kerajaan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN