GRS tambah kukuh dengan kewujudan parti baharu - Utusan Malaysia

GRS tambah kukuh dengan kewujudan parti baharu

HAJIJI Noor (dua kiri) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada salah seorang mangsa banjir di Kota Marudu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA MARUDU: Kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat akan bertambah kukuh dengan kewujudan satu lagi parti baharu yang mesra kepada kerajaan.

Parti yang akan ditubuhkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony itu menggambarkan amalan demokrasi di negeri ini amat baik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan parti yang mesra kepada kerajaan GRS itu adalah satu usaha yang baik.

“Kita mengamalkan demokrasi, beliau telah membuat keputusan untuk menubuhkan parti baharu dan mesra kepada GRS.

“Bagi saya selaku ketua kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri jadi, (kita) berterima kasihlah,” katanya ketika mengulas tentang pengumuman ADUN Melalap ingin menubuhkan parti yang mesra kepada kerajaan GRS.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada mangsa banjir di daerah ini.

Walau bagaimanapun, setakat ini Peter belum lagi berhubung secara peribadi dengannya untuk menyatakan hasrat kerjasama tersebut.

Pada 28 Disember tahun lalu, bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) itu mengumumkan keluar daripada Warisan dan akan menubuhkan sebuah parti baharu yang mesra kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, bantuan daripada kerajaan persekutuan bagi mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah hanya akan diberikan setelah penilaian dan laporan kerosakan diterima.

“Kita tunggu laporan daripada pegawai daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir daerah, baru boleh tentukan bila boleh berikan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mangsa terjejas banjir akan menerima bantuan wang tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang tidak mengalami kerosakan yang tidak serius.

Bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN