MELAKA: Fungsi penubuhan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bukanlah menentukan amalan rasuah berlaku atau tidak dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terutama apabila melibatkan Ketua Pesuruhjaya.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari menegaskan, SPRM tidak boleh membersihkan imejnya sendiri apabila terkait dengan sesuatu isu berkaitan rasuah.
Beliau berkata, Jawatankuasa Khas bawah Parlimen dilihat merupakan instrumen terbaik untuk menyiasat kes pemilikan saham membabitkan Tan Sri Azam Baki yang sedang hangat diperkatakan masyarakat.
“Alasan bahawa ahli keluarga menggunakan namanya dalam pemilikan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM lebih mencalarkan lagi imej negara, yang sudah sedia tercalar dengan amalan rasuah.
“Mengikut terma rujukan penubuhan LPPR, fungsi menentukan amalan rasuah berlaku atau tidak dalam SPRM bukanlah fungsi LPPR itu diwujudkan, lebih lagi ia melibatkan Ketua Pesuruhjaya.
“SPRM tidak boleh membersihkan imej SPRM bila terkait dengan sesuatu isu rasuah. Wajarlah Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen menyiasat perkara tersebut dan mencadangkan tindakan sewajarnya untuk membersihkan imej SPRM, namun yang paling penting adalah imej negara,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, LPPR mengumumkan, pihaknya mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan berhubung pemilikan saham membabitkan Azam.
Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat panel LPPR pada 24 November tahun lalu.
Beliau berkata, pada mesyuarat itu, Azam dipanggil bagi memberi penjelasan sebenar mengenai dakwaan pemilikan saham berkenaan kepada ahli panel LPPR yang lain.
Azam dalam sidang akhbar sama memaklumkan, akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan beliau tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli tersebut. – UTUSAN