DAP dakwa Bersatu anggap bukan Melayu kelas kedua - Utusan Malaysia

DAP dakwa Bersatu anggap bukan Melayu kelas kedua

S. RAMAKRISHNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Naib Pengerusi DAP Johor, Dr. S. Ramakrishnan mendakwa, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah parti politik yang meletakkan kaum bukan Melayu sebagai kelas kedua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok itu membuat dakwaan tersebut ketika mempersoal tindakan bekas Ketua Cawangan DAP Taman Nusa Bestari, A. Sandra Segaran yang keluar DAP untuk menyertai Bersatu.

Ramakrishnan berkata, tindakan Sandra Segaran yang membuat tuduhan kepada kepemimpinan DAP Johor adalah amat malang kerana dia meninggalkan perjuangan DAP yang mahu mewujudkan negara demokratik dan adil kepada semua kaum dan agama untuk menyertai Bersatu.

“Bersatu adalah parti politik yang memperjuangkan agenda Malay-first. Kami terkejut kerana dia memilih parti yang melihat ahli bukan Melayu sebagai kelas kedua tanpa status dan kuasa mengundi yang sama,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Sandra Segaran mendakwa lebih 1,000 ahli DAP daripada 13 cawangan di negeri ini telah bertindak keluar parti tersebut selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Alan Tee Boon Tsong mahu Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka dalam menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Alan Tee berkata, jalinan kerjasama politik itu perlu demi perpaduan pembangkang untuk bersama-sama menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bagi pihak DAP Johor, saya ingin mengumumkan pelancaran program persediaan parti bagi menghadapi pilihan raya peringkat negeri Johor serta Persekutuan yang bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi sebarang kemungkinan pada bila-bila masa,” katanya.

Menurut ADUN Senai itu, Chin Tong menjelaskan perubahan dalam politik negeri Johor akan memberi kesan besar kepada PRU ke-15 nanti di mana kemenangan UMNO di Melaka menaikkan semangat UMNO Johor untuk memaksa Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

“PH Johor telah menang 18 daripada 26 kerusi Parlimen dan 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bermakna PH Johor menyumbang 20 peratus daripada jumlah 98 kerusi Parlimen yang dimenangi di Semenanjung pada PRU-14.

“UMNO Johor kini telah memulakan langkah untuk kembali berkuasa dengan memastikan PH kalah teruk di Johor. Jadi, PH perlu bekerjasama dengan naratif baharu yang mana DAP Johor akan memainkan peranan penting untuk mengembalikan kemenangan kepada Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya